logo

let’s make something together

Give us a call or drop by anytime, we endeavour to answer all enquiries within 24 hours on business days.

*Five Arts Centre is moving! New address and phone number coming soon.*

Bisikan Lantang

  • Januari 14, 2004
  • 710 Views

By Nizam Zakaria

Bisik merupakan sebuah antologi drama Melayu Singapura oleh tiga penulis mudanya yang berbakat: Aidli ‘Alin’ Mosbit, Alfian bin Sa’at dan Noor Effendy Ibrahim.

Banyak kali saya diberitahu oleh beberapa orang rakan-rakan terdekat (dari Malaysia) bahawa sasterawan dan karyawan Melayu yang besar bertaraf dunia akan muncul dari Singapura. Mereka berkata beglni kerana menurut mereka, karyawan di Singapura tidak begitu dikekang dengan sekatan-sekatan yang mengongkong (dari DBKL sebagai contoh), ditambah dengan sistem pelajaran yang baik, keterbukaan dalam seni dan yang paling penting dan ketara sekali, mereka di Singapura sering didedahkan dengan persembahan-persembahan seni bertaraf dunia melalui pesta seni dan filem yang diadakan hampir setiap tahun (mereka juga mempunyai saluran televisyen khas untuk seni -Arts Central). Mungkin apa yang dinyatakan mereka ada kebenarannya, tetapi saya berkeras menyatakan bahawa apa yang dialami di Singapura tidak jauh berbeza dengan apa yang dialami di Malaysia.

Perkongsian pengalaman dan pengetahuan yang kita ada semuanya hampir-hampir sama tidak kira di Singapura mahupun di Malaysia. Di Singapura, orang-orang Melayunya juga menonton filem-filem P. Ramlee. Lagu-lagu pop yang menjadi siulan anak-anak muda di Malaysia juga mendapat sambutan yang sama hangat di Singapura. Mereka juga menonton segala rancangan popular di saluran-saluran di Malaysia.

Walaupun kita berkongsi “archetype”, beberapa perbezaan masih boleh dilihat di antara teater Melayu Singapura dan yang terdapat di Malaysia. Di dalam masyarakat plebian Singapura, persoalan stratifikasi sosial bukan lagi menjadi satu persoalan yang besar, maka perkara ini jarang diperkatakan dalam persembahan teater di Singapura. Masyarakat majmuk di sana juga lebih bersifat pluralistik dari yang terdapat di Malaysia, di mana kita dapat melihat jurang di antara kaum-kaum yang ada jelas kelihatan (walaupun kerap kali ingin kita nafikan tentang kewujudannya secara terbuka dan ikhlas). Sifat pluralistik masyarakat di sana jelas digambarkan melalui penglibatan pelbagai kaum dalam beberapa naskhah yang dipersembahkan dalam antologi drama Bisik, sebagai contoh dalam drama Ikan Cantik tulisan Alin dan Anak Bulan di Kampung Wa’ Hassan oleh Alfian   (tanpa merasa seolah watak bukan Melayu ini diadakan sebagai watak “token”).

Seperkara lagi, saya dapati kesemua drama yang ada dalam Bisik adalah drama-drama yang bersifat kontemporari. Di Singapura, pengamal-pengamal teaternya lebih cenderung mempersembahkan karya-karya yang bersifat kontemporari, sedangkan di Malaysia, sebaliknya (perhatikanlah: Saksi, Ronggeng Rokiah, Alang Rentak Seribu, Demang Lehar Daun, Tok Rimau dan Merdeka! Merdeka! Merdeka!). Saya rasa mungkin perkara ini terjadi dengan kehendak semasa masyarakat Melayu di Singapura ingin membawa berbincang segala apa yang berlaku di sana pada dewasa ini. Ditambah lagi, apa-apa yang berlaku sebelum perpisahan Singapura dengan Malaysia bukan sepenuhnya memaparkan masyarakat Melayu “Republik Singapura”. Anak­ anak Melayu Singapura, saya rasa seboleh-bolehnya ingin memaparkan keadaan dan cerita mereka pada waktu ini, sebagai sekelompok masyarakat Melayu minoriti – dengan aktif melakukan percubaan ikonoklastik dan tanpa perlu lari dari dunia kemelayuan mereka sendiri.

Dan mungkin sebab itulah juga saya perhatikan, bahasa yang digunakan dalam drama-drama yang ada dalam Bisik lebih bersifat natural. Tak ada bahasa-bahasa bersifat “sastera” yang mungkin jarang atau tidak digunakan langsung oleh masyarakat biasa. Malah, perkataan “Singlish” ‘dan slanga jalanan juga sering digunakan untuk memaparkan perbualan yang biasa digunakan oleh kebanyakan masyarakat Melayu di sana.

Saya mula mengenali nama Noor Effendy Ibrahim pada awal tahun 90-an dahulu apabila seorang rakan rapat saya meminta saya menemaninya menonton sebuah persembahan dari Teater Kami bertajuk Anak Melayu. Kini Effendy merupakan Pengarah Artistik, Teater Ekamatra.

Aidli ‘Alin’ Mosbit pula, pada mulanya saya kenal sebagai seorang pelakon bertubuh montok yang pernah mengambil watak Salina dan Nyai Sunarti dalam Lantai T. Pinkie pada awal 90-an dahulu. Bakat menulisnya terus terserlah pada awal dan lewat 90-an dengan karya-karya yang ditulis dan diarahnya sendiri. Dua buah karyanya, Kosovo serta …Dan Tiga Dara Terbang ke Bulan telah memenangi penghargaan daripada Majlis Persuratan Melayu Singapura pada tahun 1995 dan 1997.

Alfian adalah seorang “wunderkind• yang cukup-cukup luar biasa bakatnya. Karya-karyanya seperti Causeway dan Bulan Madu telah mendapat sambutan hangat di Malaysia. Pada tahun 1999, beliau telah dianugerahkan dengan Anugerah Penghargaan oleh Majlls Persuratan Singapura dan pada tahun 2001, Alfian, masih berumur 23 masa itu, telah dianugerahkan Anugerah Seniman Muda oleh Persatuan Seni Kebangsaan.

Membaca karya Effendy mengingatkan saya kepada beberapa karya berbentuk eksperimental dalam era 70-an dahulu. Karya-karya dramanya, seperti drama-drama awal Dinsman (Protes dan Bukan Bunuh Diri), Hatta Azad Khan (Mayat) dan Noordin Hassan (Peran), jika dibaca agak mengelirukan dan sukar untuk kita mencernakannya. Karya-karya Effendy sebenarnya adalah karya pasca-absurd berjiwa Melayu. Effendy mungkin dipengaruhi oleh tradisi drama Ionesco, tetapi dengan acuan optimisme yang digayakan dengan rupa teater Melayu.

Persembahan Effendy yang bertajuk Ahmad dan lebih-lebih lagi Cerita Cinta juga agak sama bentuknya dalam permainan bahasa yang digunakan. Effendy saya dapati mempunyai obsesi dalam hal idea bahasa dalam beberapa dramanya. Drama Anak Melayu sebagai contoh, menggunakan bahasa-bahasa “kesat” yang sering digunakan oleh segelintir anak-anak muda Singapura – yang saya rasa merupakan satu penelitian terhadap fungsi penggunaan bahasa di kalangan anak-anak muda di sana. Projek Suitcase kelolaannya pula mahu meraikan kepelbagaian budaya dan bahasa dunia Melayu – satu idea yang baik dalam keadaan pemimpin-pemimpin kita yang begitu cenderung mahu “menyatukan” masyarakat Melayu sebagai satu masyarakat mono­ etnik yang serupa dalam segala hal, dan kepelbagaian pendapat (terutamanya dalam hal politik) tidak digalakkan dan akan dianggap sebagai satu “perpecahan”. Effendy ingin lari dari stereotaip bahasa {dan juga sosio-politik) yang selama ini membelenggu masyarakat Melayu. Beliau ingin memberitahu bahawa kekeliruan juga boleh timbul dalam perbezaan semantik dalam bahasa Melayu. Malah, cara kita berbudi dan berbahasa juga (melalui sistem bahasa yang mengutamakan peradaban berbicara) boleh terselit sifat-sifat hipokrasi yang nyata dan ketara.

Alin pula gemar membawa persoalan kedudukan wanita Melayu melalui drama-drama persembahannya. Satu langkah yang saya alu-alukan. Perkara ini jarang sekali dapat kita lihat di Malaysia, di mana persoalan emansipasi wanita (khususnya wanita Melayu) benar-benar dapat diperkatakan dengan jujur dan dipersembahkan dalam bentuk drama (malah, perkataan “feminisme” juga saya dapati tidak begitu digalakkan di Malaysia kerana dianggap sebagai satu istilah yang membawa konotasi budaya barat). Secara dramatik, Alin bermain dengan lesen artistik untuk memaparkan wajah wanita yang bebas bersuara, bermimpi dan berfantasi dengan semahunya.

Dengan berani juga, Alin mempersoalkan tentang kedudukan wanita dalam mitos serta sejarah silam Melayu lama melalui Ikan Cantik. Percubaan ikonoklastiknya ini saya kira berjaya dengan beliau mempersoalkan kembali kedudukan watak-watak wanita seperti Puteri Hang Li Po, Tun Teja, Puteri Gunung Ledang dan Tun Fatimah. Di Malaysia sendiri, baru-baru ini kita dapat melihat melalui drama Saksi oleh Sekutu Teater-lndi Melayu bahawa watak Dang Anum masih satu watak wanita Melayu yang lemah dan yang hanya tahu menjerit, menangis dan menghidangkan minuman. Di Malaysia, perlu ada keberanian dalam teater Melayu mempersoalkan tentang kedudukan wanita secara jujur.

Alin juga berkeyakinan mencipta karya-karya non-linear. Dalam drama-dramanya, jarang terdapat peristiwa-peristiwa yang sia-sia dari segi cerita kerana akhirnya ia akan disatukan sebagai jigsaw puzzle dalam kepala kita sendiri. Dalam drama tulisan Alfian pula, sikap teguh dan formal terhadap cerita terdapat dalam karya-karyanya walaupun penuh dengan sub-plot yang menarik serta bertekstur. Dunia Melayu yang mahu mereka tonjolkan bukan satu dunia yang lurus yang wujud dalam dunia nyata, tapi yang wujud di dalam minda manusia bergelar Melayu ini secara kolektif.

Drama hasil tulisan Alfian Sa’at agak istimewa bagi saya kerana saya melihat beliau mahu sedaya mungkin menilai kali dan mempersoalkan lambang jati diri orang Melayu. Alfian saya rasa cuba mendekontruksi lambang-lambang ini melalui karya-karyanya. Madu II sebagai contoh, dibuat dengan sebegitu rupa agar penonton dapat berfikir dan melihat sendiri sifat seksis dalam filem P. Ramlee Madu Tiga yang sebelum ini sukar untuk dipersoalkan secara terbuka.

Saya rasa, karya-karya Alfian agak popular di Malaysia kerana ia telah dipersembahkan dengan suara-suara bersahaja dengan persoalan-persoalan kontemporari. Alfian cukup senang menyatukan budaya pop MTV dan URTV ke dalam drama-drama tulisannya. Alfian juga berani menegur institusi budaya yang selama ini berdiri teguh tanpa berani dikacau oleh sesiapapun.

Jika di Malaysia, drama berunsur Islam semakin popular dan semakin digalakkan persembahannya, di Singapura, atau sekurang-kurangnya drama-drama dalam antologi Bisik ini tidak menyentuh tema ini (ini bukan bermakna masyarakat Melayu di Singapura dangkal agama). Mungkin perkara ini berlaku kerana Singapura adalah sebuah negara sekular di mana penulis-penulisnya mempunyai tema serta jalan cerita yang lain yang ingin disentuh mereka.

Selain dari tema agama, entah mengapa, tema-tema “sensitif yang menyentuh “isu-isu masyarakat” seperti penindasan masyarakat Melayu di sana (sama ada wujud atau sebaliknya, perkara ini masih boleh dipertikaikan) tidak disentuh – walaupun isu-isu realisme sosial seperti ini banyak diperkatakan dalam teater Melayu Singapura pada dekad 70-an dan 80-an.

Keistimewaan yang paling ketara ketiga-tiga aktivis drama ini adalah keyakinan mereka kepada daya intelek penonton (dan pembaca). Jadi kurang terdapat kehendak untuk membuat dialog-dialog  yang seolah-olah mahu membuat penonton faham akan sesesuatu pesanan moral.

Bisik menerawang di antara tradisi dengan kemodenan di dalam sebuah masyarakat minoriti bernama Melayu dari sebuah kota kosmopolitan bernama Singapura. la adalah bisikan kata-kata anak-anak mudanya yang ingin bersuara dan bisikan mereka yang “lantang” harus kita teliti dan dengar agar kita dapat memahami apa yang ingin mereka suarakan kepada kita semua.

Bisik adalah terbitan bersama Pustaka Cipta dan Teater Ekamatra.

First Published: 14.01.2004 on Kakiseni