Kedurjanaan Politik dan Perjuangan

Cerita dari Blora mungkin tak sehebat atau sepopular siri Bumi Manusia atau otobiografinya, Nyanyian Seorang Bisu. Tetapi ketajaman pemikiran Pramoedya Ananta Toer, keindahan liang-liuk bahasanya dan kehebatan imaginasinya tergambar sudah dalam antologi cerpen ini, yang diterbitkan sewaktu Pram masih muda – pada tahun 1952. Bukan sahaja Pram yang muda pada waktu ini, tetapi Republik Merah Putih Indonesia juga masih lagi setahun jagung. Karya ini menangkap pelbagai kontradiksi dan realiti zaman awal-awal merdeka, melangkaui retorika nasionalisme khususnya, dan ideologi-ideologi lain yang popular waktu merdeka dengan menjenguk realiti yang cukup perit. Yang lebih menyedihkan lagi, seperti kehidupan Pramoedya, Indonesia, negara yang cukup warna-warni dan hebat budayanya, terus menghadapi satu demi satu cabaran dan penderitaan. Pram sendiri mengarang novel ini ketika di dalam dan selepas pemenjaraan Belanda sewaktu Revolusi Indonesia.

Blora cukup dekat dengan jiwa Pram – atas asbab yang cukup besar – Blora tempat kelahirannya, sebuah tempat yang waktu itu disumpah kemiskinan dan penuh dengan tragedi-tragedi yang terikat dengan kemiskinan yang dasyat. Blora di Jawa Timur, dan bapa Pram seorang guru besar sekolah partikelir (nasionalis)  dan aktivis. Tetapi bapanya juga seorang kaki judi. Kisah hidupnya ini dilakari di dalam cerpen-cerpennya di sini, iaitu Kemudian Lahirlah Dia dan Dia Yang Menyerah. Malah hubungan kekeluargaan merupakan latar yang cukup berulang-ulang dalam cerpen-cerpennya di sini. Apabila kehidupan dibebani kefakiran, barangkali keluarga menjadi jauh lebih penting.

Dengan latar keluarga yang miskin inilah Pramoedya melahirkan kisah-kisah yang secara kolektif boleh dilihat sebagai satu kritikan kepada kejumudan dan sikap fanatik pada politik, khususnya ideologi-ideologi tertentu, yang terasing daripada realiti kehidupan, meskipun asal-usul ideologi-ideologi tersebut ialah untuk membawa kemakmuran kehidupan. Satu perkara yang mungkin cukup menarik untuk antologi ini ialah ia ditulis sebelum penyertaan Pram ke dalam Lekra, atau Lembaga Kesenian Rakyat yang dianggap kiri. Pengantar kepada edisi 1952 Cerita Dari Blora menyebut, “Pram tidak memberatkan simpatinya kepada suatu isme kecuali kepada humanitas.”

Dia Yang Menyerah merupakan cerpen yang paling menonjolkan kecamukan akibat ideologi – satu penderitaan kehidupan sebuah keluarga yang cukup dasyat. Seperti kebanyakan cerpen-cerpen lain dalam antologi tersebut, cerpen tersebut menggambarkan kehidupan di Blora pada zaman transisi Jepun-revolusi-kemerdekaan. Si bapa keluarga tersebut “haus akan perbaikan masyarakat, benci pada penjajahan Belanda dan belum sadar akan kejahatan Jepang” – yang kemudian, bila sedar, menjadi nasionalis penyokong Republik; dua orang abang menjadi roomusha (buruh paksa) di Burma, seorang mati dan seorang lagi, selepas perang berakhir menjadi askar Belanda; kakak sulung menyertai Pemuda Sosialis Indonesia (Pesindo) dan kemudian menjadi askar berkuda Merah (komunis). Keluarga protagonis, menggambarkan pergelutan politik Indonesia. Yang menjadi mangsa ialah adik-adik kecil, Sri, Diah, dan adik-adik mereka yang lain tak ubah seperti pelanduk yang mati di tengah-tengah apabila gajah bertarung. Dia Yang Menyerah menyentuh soal penderitaan kemiskinan dan tragedi kesengsaraan dengan amat baik.

Lebih asyik lagi ialah apa yang secara peribadi saya anggap karya paling baik dalam Cerita Dari Blora, iaitu Anak Haram. Persoalan politik terus mebayangi cerpen ini. Ahyat, watak utama, seorang kanak-kanak yang meskipun bukan anak haram secara literal, dikeji dengan dasyat sekali kerana bapanya seorang mata-mata zaman penjajahan Belanda, dan waktu itu Indonesia masih lagi dilayani joie de vivre kemerdekaan. Tetapi Pramoedya mengolahnya dengan lebih kompleks lagi – Ahyat sendiri seorang yang terlalu penakut dan tidak mendepani rasa gundahnya, membiarkan sahaja dirinya dicaci dan diherdik rakan-rakannya. Yang menjadikan cerpen ini cukup memikat ialah minat Ahyat pada muzik – khususnya lagu Ave Maria. Mula-mula Ahyat punya piano, tetapi kemudian beliau mendapat biola yang diingin-inginkannya, tetapi ini mengingatkan bapanya kepada dosa-dosa lama, ketika kerjanya sebagai mata-mata dahulu. Ahyat seorang anak yang seolah-olah mewarisi “haram” dosa-dosa bapanya.

Pramoedya turut menghalakan penanya untuk mengkritik kejumudan bersifat taklid pada adat. lnem mengenai perkahwinan kanak-kanak, mengenai masyarakat yang memaksa pelbagai peraturan kepada wanita tetapi turut menyalahkan wanita selama-lamanya. Watak utama, lnem, adalah wanita yang menjadi idaman masyarakat tradisional. “la tergolong cantik buat gadis-gadis kecil di kampong kami” la sopan, tak manja, cekatan dan rajin.” Apa lagi, lnem pun dijodohkan dengan Markaban, anak orang kaya, seperti lazimnyalah. Cerpen ini diceritakan menerusi Mamuk, seorang gadis yang muda sedikit daripada lnem dan amat mengaguminya. Mamuk meluahkan: “Mau-tak-mau  kami kanak-kanak merasa, sesungguhnya dunia ini hanya diperuntukkan buat orang- orang dewasa”.

Kepercayaan karut turut dijadikan lawak oleh Pram. Apabila lnem menangis waktu majlis kahwinnya, ibu Mamuk mengatakan ini kerana dia ingat pada nenek-moyang yang sudah lama meninggal, sedangkan lnem menangis kerana dia tak tahan hendak kencing!

lnem yang menjadi mangsa perkahwinan, bertanya kepada ibu Mamuk yang sebelum itu memeliharanya: “Kesopanan, ndoro? Karena kesopanankah lnem tak boleh di sini?” Kesudahan tragis cerita tersebut diakhiri dengan Pram menulis, menerusi Mamuk, “Dan ibu pun tetap memegang kesopanan rumahtangganya,” kritis bagi mereka yang menyamakan kesopanan dengan sikap membuta tuli mengikut adat.

Hadiah Kahwin juga amat menarik (teringat novel Aziz Hj. Abdullah yang dianggap witty oleh Faisal Tehrani, Kahwin-Kahwin). Kini bukan mengenai politik, tetapi cereka mengenai seorang penulis yang menggambarkan Pram bukan sahaja hebat dari segi kritis sosiopolitiknya yang memperjuangkan seni untuk masyarakat, tetapi juga boleh menjadi seorang pejuang seni untuk seni yang agung. Dilemma penulis zaman itu digambarkan – masalah dengan penerbit, kecamuk pelbagai aliran sastera dan secara kreatif, persoalan abadi yang menghantui penulis fiksyen – mahu pengakhiran yang hidup bahagia selama-lamanya atau berakhir dengan tragedi?

Sukar untuk dapat menulis satu reviu ringkas yang berlaku adil kepada kehebatan cerita-cerita dari Blora ini. Bagi mereka yang belum pernah membaca Pram dan masih janggal dengan Bahasa Indonesia, edisi ejaan moden terbitan Wira Karya pada 1989 ini berguna untuk membiasakan mereka dengan lenggok Indonesia, disamping mengenali Pram yang masih muda. Tetapi bagi mereka yang sudah menyelami karya-karya hebat Pram yang lain pun, akan tetap menikmati Cerita Dari Blora, sebagai satu lagi trademark bakat sastera Nusantara yang cukup hebat ini, petanda awal bagi kedatangannya sebagai pengarang tour de force sejagat. Pram meskipun bencikan penjajahan, menunjukan kematangan dan kejujuran di dalam membicarakan isu-isu kompleks kemanusiaan, tidak hentam keromo sahaja dan menjadikan ideologi sebagai kiblat penulisannya.

Betul kata HB Yasin, Pram berpijak pada kemanusiaan.

Nik Nazmi Nik Ahmad ialah bekas editor pengasas SuaraAnum.com dan kini menjadi kolumnis di Siasah dan Gong. Beliau meminati tulisan Jostein Gaarder, Pramoedya Ananta Toer dan Gabriel Garcia Marquez. Hubungi beliau di niknazmi@yahoo.com.

First Published: 12.11.2003 on Kakiseni

Related items

For Translation

The 8th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

The 7th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.