Embun, Mona Atau Zakiah

Maafkan saya, kali ini saya tidak akan menulis kritikan teater, pratonton atau membincangkan isu seni dan budaya yang memberatkan kepala. Kali ini saya akan menulis mengenai rogol. Memang saya bukan pengkritik filem, saya akan melihat berdasar sorot mata seorang penonton dan anda boleh sahaja memberi pandangan yang lain. Kakiseni mengalu-alukan perbincangan sihat.

Sudah menonton Embun? Kebanyakan wartawan hiburan yang menulis ulasan mengenai filem ini memuji melangit Embun. Dan satu adegan yang tidak sudah-sudah diperkatakan sejak sebelum filem ini ditayangkan lagi ialah adegan rogol Embun. Malah percakapan tentang rogol itu sendiri telah menenggelamkan banyak aspek lain yang jauh lebih membanggakan seperti sinematografi Teoh Gay Hian meskipun lakon layar Erma Fatima di beberapa tempat tidak munasabah.

Bagaimana Embun boleh dirogol? Selepas Bayu (lakonan Hani Mohsin) tertangkap oleh tentera Jepun dan diseksa di markas besar mereka, perintah berkurung telah dilaksanakan, ayah Embun (lakonan Dato Rahim Razali) mati ditembak askar Jepun, kelihatannya sudah tidak ada harapan untuk membebaskan Bayu, penduduk kampung yang lelaki pula memberi bermacam alasan untuk memberanikan diri ke markas tentera Jepun dengan tujuan merayu simpati demi membebaskan Bayu, maka Embun tanpa pengetahuan Mak Temah (lakonan unggul Khatijah Tan) telah melakukan sesuatu yang di luar duga. Dia bersolek, mengenakan sanggul antiknya, memakai kebaya kain organza dan melenggang ke markas tentera tersebut. Kemudian lzi Yahya memaksa Embun melayannya minum teh, meramas punggung Embun dan argh, merogol Embun lakonan Ummi Aida seganas rasa. Embun kemudian diperkosa lagi dan lagi (adegan ini mengingatkan saya filem Bandit Queen). Lama kemudian dengan campur tangan Aqasha sebagai Leftenan Koishi, Embun dibebaskan dalam keadaan mengengkang, oleh trauma dirogol, Embun mandi di perigi menggosok sabut pada badan sambil tersedu.

Kemudian Embun okay! Dia okay! Kalau tidak percaya lekaslah menonton, dia okay malah masih mengenakan kebaya organza, dia masih melenggang ke markas besar Jepun dan berpakat dengan Leftenan Koishi untuk memujuk orang kampung menanam padi dua kali setahun, Embun merayu orang kampung bersetuju dan pergi dari satu rumah ke rumah (macam Menteri meraih undi di pilihanraya kecil Pendang dan Anak Bukit lagaknya) berkenduri-kendara di rumah, menyidai baju berkemban, ‘memimpin’ orang lelaki berjuang menentang penjajahan dengan berlatih mengguna senjata di dalam gua (wah lebih maju daripada lbu Zain (UMNO), Shamsiah Fakeh (PKM) dan Khatijah Sidek (PAS)!) dan mandi manda di sungai bergembira. Trauma dirogol bergilir-gilir tadi padam terus dari kehidupan si gadis berhati waja seperti Embun dan hanya muncul di akhir cerita. Argh, kena rogol…

Sayang lagi malang dan maafkan saya Erma Fatima dan Ummi Aida, adegan rogol Embun tidak ada apa-apa. la tidak meninggalkan kesan di benak penonton seperti saya malah andai difikir-fikir lagi terasa melucukan pula. Ada penonton yang ketawa mengilai ketika adegan ini sewaktu saya menonton. Saya lebih terkesan adegan rogol Melati oleh Elly Suriati Omar, meski tidak ditunjukkan tetapi trauma Melati dijadikan hamba seks tentera Jepun terasa menusuk ke umbi. Tangis raungnya diculik saja sudah amat mengesankan, apatah lagi rasa kesalnya diperkosa sambil menampar diri sendiri cukup kekal dalam ingatan. Saya kira jika watak Melati lebih banyak berkembang, adalah sesuatu yang pasti filem ini akan bertukar menjadi ‘Melati’ dan bukannya Embun.

Ada banyak adegan rogol atau cubaan rogol dalam filem Melayu yang saya kira jauh lebih mengesankan walaupun mangsa rogolnya tidak dihentakkan ke lantai, tidak diramas punggung dan tidak pun dihayak secukup rasa.

Saya masih kanak-kanak apabila dihela makcik-makcik saya menonton filem percuma Bila Hati Telah Retak di pekan Simpang Ampat. Seperti filem Embun, filem ini dibiayai penuh Filem Negara Malaysia. Salah satu adegan yang kekal di ingatan ialah apabila Rubiah Suparman diseret Abu Bakar Omar ke dalam semak untuk diperkosa. Sebagai bidan kampung, Rubiah Suparman menunjukkan kecekalan luar biasa menentang nafsu buas lelaki. Tugasnya mendidik orang kampung supaya menerima perubatan moden daripada perubatan tradisional menimbulkan konflik, maka separuh daripada bahana itu ialah cubaan rogol selain daripada difitnah. Rubiah bergelut di dalam belukar dengan uniform putih misinya kemudian menunjukkan kepakaran mempertahan diri. Saya mengiktiraf Rubiah sebagai primadona sejak itu.

Saya tidak pasti saya entah darjah berapa sewaktu menonton filem sensasi komedi Tujuh Biang Keladi ditayangkan. Filem ini diarahkan oleh seniman veteran Aziz Satar sementara cerita oleh Osman Abadi. Dalam filem tersebut tujuh anak dara gila-gila yang menginap serumah, hidup bebas dan liar, mengikis wang jantan, berparti, berkelah dan salah seorang daripadanya ialah Norlida Ahmad atau Connie yang kerjanya mencukur poket seorang eksekutif Jalal, lakonan Ismail Hudson. Watak Norlida bernama Mona, lari dari kampung kerana salah faham dengan ayahnya dan di Kuala Lumpur bekerja sebagai kerani dengan gaji 300 ringgit.

Mona meninggalkan Jalal dan melekat dengan lelaki lain menimbulkan kemarahan Jalal kerana sudah banyak berhabis ‘membela’ Mona. Sebuah kereta Ford, wang beribu, kamera dan entah apa macam material lagi tercurah. Kemarahan Jalal mendorong dia mengupah sekumpulan samseng menculik Mona.

Di dalam belukar, penat bergelut Mona akhirnya dibaringkan di tempat duduk belakang kereta, maka terjadilah dialog yang tidak akan dilupakan oleh industri filem Melayu buat selama-lamanya:

Jalal: Masuk dalam kereta ni… masuk.

Mona: Apa ni abang Jalal… argh… argh. Tolonglah abang Jalal, jangan buat Mona begini. Mona masih perawan.

Jalal: Perawan? Perempuan macam kau ni, mana ada perawan lagi, hidup aku dah hancur kau tahu, mana boleh aku biarkan kau begitu sahaja.

Mona: Jangan buat Mona begini. Mona masih perawan. (sambil mencakar pipi Jalal. Jalal menampar Mona dengan ganas, membuka baju, menyingkap skirt Mona dan mengeluh emmm.)

Selepas itu samseng-samseng tersebut pula mengambil alih dengan dialog seperti:

Mona: Tolong hantarkan saya pulang, jangan apa-apakan saya lagi.

Samseng: Jangan takut, kami tak akan apa-apakan. Cik Mona tak puas dengan beberapa jantan, kan, maka kami nak puaskan pada malam ini.

Mona: (menjerit panjang dalam keadaan ngeri)

Trauma mangsa rogol bergilir-gilir seperti Mona di wad 108 jauh lebih mengkagumkan. Wajah biru lebam ditumbuk, Norlida Ahmad menangis kesal di sisi Raffi Hussain, sambil menuturkan ‘aku malu, biarkan aku bawa diri sendiri, aku dah cemar, semua orang tahu. Perkara ini dah disiar di akhbar, mana aku nak letak muka aku, siapa nakkan aku lagi Mail?’ Kemudian apabila Mail lakonan Raffi Hussain memperakukan kasihnya, terlafazlah dialog ‘aku dah kena rogol pun kau nakkan aku lagi Mail?’. lnilah mangsa rogol tahun 80an, Embun mangsa rogol tahun 40an jelas lebih hebat daripadanya saya kira. Maklumlah Embunkan pemimpin umat Melayu maka dia harus segera keluar daripada trauma itu untuk menunjukkan wibawanya. Argh, siapa kata Melayu masih bertongkat?

Adegan rogol lain ialah Ogy Ahmad Daud sebagai Haslin dirogol ayah tiri sendiri lakonan Sidek Hussin dalam filem Bintang Malam arahan Adman Salleh. Saya di Tingkatan Lima sewaktu menganga dengan pop corn di dalam mulut mendengarkan jeritan perit Haslin atau Aishah dirogol ganas pada permulaan filem, ia benar-benar menghantui pemikiran. Filem ini wajar ditonton oleh semua karyawan seni memandangkan penyair kita Salleh Ben Joned turut berlakon sebagai bapak ayam yang tamak dan gelojoh dalam filem ini. Mungkin inilah filem terakhir Salleh.

Juga ada adegan rogol atau cubaan rogol ke atas Tantiana Hamzah oleh Yusuf Haslam (sekarang Dato) kalau tidak silap saya dalam Melati Putih, memang mengesankan, selain adegan Maria Arshad diperkosa lanun dalam Raja Laut.

Akan tetapi adegan mangsa rogol yang paling berkesan bagi saya tentu sekalilah yang diperankan oleh Azean lrdawaty sebagai Zakiah dalam Langit Petang. Filem ini adalah adaptasi daripada novel Sasterawan Negara A. Samad Said. Perogolnya sekali lagi Sidek Hussin sebagai Hashim. Zakiah diperkosa di dalam sawah, di celah selut dan lumpur, dalam rimbunan padi masak, Zakiah menangis menentang Hashim dengan tongkat. Tiada dialog, hanya ekspresi dan Azean lrdawaty memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik dan bermula dari situ menjadi primadona unggul filem-filem Melayu. Sidek Hussin tidak perlu menjilat leher atau menderam, dia hanya ketawa dengan gaya yang memualkan untuk terus menghantui hidup Zakiah.

Sebagai mangsa rogol, Zakiah membenci lelaki malah ketika Hafiz (dibintangi oleh Dharma Harun Al-Rashid) menawar cinta, Zakiah masih ketakutan. Penonton filem ketika itu pasti tidak dapat melupakan adegan Zakiah menangis sambil melempar kek hari jadinya, bahkan hingga hari ini adegan akhir di mana Zakiah mencabut kasut tumit tinggi, berlari sambil teresak mencampak beg pakaian menuju ke kawasan perkuburan dilatari langit petang tidak dapat dipadamkan sama sekali dari benak khalayak filem Melayu. Zakiah memang berambut menggerbang ala-ala afro berwarna merah, berkebaya cantik dengan kain belah santak ke paha tetapi dari segi psikologinya Zakiah amat terganggu dan itu telah ditunjukkan oleh Azean lrdawaty dengan cukup memukau meski sekejap. lya, Zakiah tidak setabah Embun, boleh mengenakan kebaya organza ke markas besar tempat diri pernah dirogol secara bergilir. Dia kekal dihina Hashim selepas bertahun-tahun menyamar diri sebagai Ruby.

Saya kemudian berfikir-fikir apa yang menjadikan adegan rogol dalam filem Melayu yang sudah bertahun ditonton itu kekal di ingatan sedang adegan rogol yang baru ditonton jam 3.30 petang sudah dilupakan sama sekali apabila menonton filem pendek Amir Muhammad berjudul Mona pada jam 8.30 malam. Mengapakah filem pendek dengan sari kata merepek tentang Mona Fandey boleh memadam esak tangis Embun dirogol?

Untuk mencari jawapan, saya membaca semula esei terkenal Otto Fenichel yang ditulis pada tahun 1946 berjudul On Acting, menurut Fenichel, penonton menghubungkan diri dengan apa sahaja ciptaan dramatis, penonton pada adegan dramatik menjadi tidak sedar dan terbawa-bawa oleh satu-satu adegan itu dengan syarat kandungan drama itu mestilah logik dan dapat dipertanggungjawabkan. Memang Fenichel terpengaruh dengan teori psikoanalitik Freud yang gila itu tetapi terdapat Franz Alexander yang menulis pula A Note On Falstaff. Alexander mengulas panjang pandangan-pandangan Falstaff mengenai lakonan dan menemui hakikat penonton akan dapat menghubungkan diri dengan watak atau sesuatu aspek lakonan itu dan dapat turut serta dengan segala tingkah laku watak hanya jika ada kebenaran dan keserasian yang merangsang bahagian benaknya yang menganalisis sesuatu secara logis. Dalam erti kata lain Falstaff memberitahu adegan yang tidak logik meskipun dilakonkan oleh pelakon paling baik di dunia akan hanya menjadi sesuatu yang sia-sia dan tidak diingati. Cukuplah melihat adegan rogol Embun itu dari kaca mata dua tokoh ini kerana jika dibaca-baca berdasar Freud, Schneider, Ernst Kris makin terasalah lemahnya. Kerana itu saya harus menelan perlahan­lahan lakonan Amy Mastura dalam Puteri lmpian dan Erra Fazira dalam Soal Hati memang menepati definisi lakonan dramatik yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh di atas, paling tidak mereka berperan dalam filem komedia.

Apa yang ingin saya katakan adalah mudah, filem mungkin cukup rencah garamnya, tetapi untuk seseorang sutradara atau karyawan, wacana yang bijak masih signifikan. Keduanya logik dan munasabah masih relevan dalam cerita untuk memukau jiwa-jiwa besar dan juga jiwa-jiwa kerdil.

Industri filem kita kecil, tiga juta terlalu banyak untuk pembikin filem bebas seperti James Lee, Amir Muhammad dan ramai lagi. Saya kira dunia filem kita tidak memerlukan epik yang hebat, cukup seperti filem-filem kecil dari Iran, jalan ceritanya mudah, ditangani secara seni dan paling penting saya kira ia mesti dan sangat logik pula. Setelah puluh tahun, logik masih menjadi kelemahan filem Melayu.

Kerana itu apabila saya bercakap dengan salah seorang pelakon Embun, saya berterus terang, memang keseluruhan lakonan bagus meski skor muzik tak menentu hala, tetapi saya masih merujuk Bukit Kepong untuk merangsang semangat patriotik saya, masih merujuk Langit Petang untuk kehebatan cinta tak tercapai, masih mengkagumi filem-filem emas Melayu yang lama-lama. Mungkin saya orang lama, tak mengapa, asalkan ada logika dan kemunasabahannya.

Mungkin ramai pula yang menyukai Embun, tidak mengapa. Tetapi bagi saya, seorang penonton kecil yang tidak tahu apa-apa, saya hanya akan ketawa untuk filem-filem yang tidak ada kewarasan dan memperakukan filem dengan lakonan dan cerita yang munasabah.

First Published: 12.08.2002 on Kakiseni

Related items

For Translation

The 8th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

The 7th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.