Teater Saat Akhir

Saya menjadi Lipas Kudung selama 5 hari kerana nak menonton Teater Melayu. Apa tidaknya, ada tiga festival yang berlangsung dalam minggu yang sama:

  1. Festival Teater Wilayah Persekutuan 2005 di Taman Budaya Kuala Lumpur pada 17-21 Disember
  2. Empat Drama di Stor Teater DBP pada 19-22 Disember
  3. Minggu Teater ASK yang menampilkan empat monolog pada 16-24 Disember 2005

Yang peliknya informasi tentang persembahan-persembahan tersebut cuma diketahui pada saat-saat akhir, itupun hanya melalui mesej-mesej yang diterima dari SMS teman-teman teater. Dalam berkejar-kejar ke sana ke mari, sempat juga saya menikmati persembahan-persembahan yang mungkin boleh dinikmati dalam setahun.

Pergerakan  Pemikiran

Festival Teater Wilayah Persekutuan 2005 menampilkan lima kumpulan bertanding:

  1. Kumpulan Giat Budaya dengan Sawo karya S.M.Nor
  2. Persatuan Penggerak Seni Budaya dengan Puteri Cahaya Bulan karya Rahmah Bujang
  3. Kelab Kilat TNBKL dengan Lorong 2190 karya Suzenna M.S
  4. Grup Teater Artis Kreatif dengan Dunia Shukri karya Dharmala N.S
  5. Kelab Teater Kota Kuala Lumpur dengan Anak Bulan Di Kampung Wa’ Hassan karya Alfian Sa’at dan Gene Shahrudyn.

Jika dihitung-hitung, ada lebih kurang lima kumpulan yang bertanding bagi setiap negeri, dan kita ada 14 buah negeri, maka ia menjumlahkan 70 buah kumpulan yang bertanding sebelum layak ke peringkat nasional. Mungkin pergerakan ini masih dianggap amatur dalam pengurusan dan pengkaryaan artistiknya, tapi semangatnya berkobar-kobar.

Sebagai contoh, kumpulan-kumpulan yang menang pada malam 21 Disember di Taman Budaya Kuala Lumpur yang baru itu, begitu bersemangat sehingga mengalirkan airmata dan saling berpelukan. Tapi malangnya, kehadiran kumpulan-kumpulan ini banyak dipersia-siakan, serta diperkecilkan oleh jurinya sendiri, seorang pengajar teater yang disegani (walaupun beliau sendiri cuma menunggu projek kerajaan untuk mengarah teater).

Salah seorang penggiat teater yang tidak mahu namanya disebut melontarkan kata-kata: “Dunia Melayu ni penuh hasad dengki, penindasan kaum sendiri, manipulasi, nepotisi dan korupsi, sebab tulah ianya tak boleh maju! Sebenarnya teater Melayu masih kuat, tapi cuma terlindung dalam kabus yang tebal!”

Mislina, pelakon handalan asuhan ASK sempat memberi komentar yang “teater Melayu ni ada jiwanya yang tersendiri serta berkelompok, seperti suatu pergerakan, tapi bukannya pergerakan politik atau agama, tapi satu pemikiran.” Saya menyampuk, “Mungkin ianya suatu pergerakan pemikiran yang menjurus ke arah pemikiran intelektual, kerana pergerakan intelektual itu sendiri merangkumi kegiatan-kegiatan yang berfaedah, yang bermisi dan mempunyai visi serta tanggungjawab. Dalam Islam pun membenarkan kegiatan berteater yang tidak melalaikan serta mempunyai mesejnya yang tersendiri.” Mislina sendiri banyak bergiat dalam teater komuniti, teater bergerak, atau juga teater jalanan, yang mana konsep ini banyak berkembang di Indonesia, Thailand dan Filipina. Tambah Mislina, “Ramai penggiat teater yang dikatakan amatur ini menganggap yang kegiatan teater Bahasa Inggeris di Malaysia kebanyakannya berbentuk komersial, melibatkan harga tiket yang tinggi serta pengiklanan yang meluas serta memerlukan dana dan penajaan yang tinggi, tanpa menghiraukan darimana datangnya wang dana tersebut. Malah ada juga direktor di jabatan kerajaan yang berfikiran begitu, sekaligus, mau memberikan persembahan percuma kepada public. Tapi kita seharusnya melihat kegiatan tersebut sebagai contoh dalam pengurusan berteater.”

Khazanah budaya ibunda

Apa yang menariknya Festival Teater Wilayah tahun ini melahirkan kumpulan yang menampilkan konsep randai di dalam menyampaikan skrip penulis Singapura, Alfian Sa’at, sekaligus memenangi pertandingan. Anak Bulan Di Kampung Wa’ Hassan juga memenangi anugerah pengarah terbaik, Sallehuddin Yahya (graduan teater dari Akademi Seni Kebangsaan), teknikal terbaik, pelakon lelaki terbaik dan pelakon pembantu terbaik. Anak Bulan menampilkan watak-watak yang pernah ada di sebuah kampong di pinggir pantai Singapura, termasuk watak Hantu Raya yang penah menginap di sebuah pohon besar. Kini kampong tersebut sudah hilang ditelan arus pembangunan yang pesat.

Ruang bermain di teater baru Taman Budaya Kuala Lumpur itu telah dimanfaatkan dengan sebaik mungkin apabila Sallehuddin memilih untuk menampilkan konsep randai dalam persembahannya. Ruang tengah bulatan masih digunakan dengan menampilkan platform tinggi sebagai ruang lakonan dan bercerita. Apa yang menarik di sini adalah pemilihan lagu-lagu Hari Raya klasik dendangan Sharifah Aini, Uji Rashid, Saloma dan lain-lainnya sebagai lagu iringan yang dimainkan oleh empat anggota okestra kecil (tiga gitar kapok serta alat-alat paluan). Walaupun persembahan ini berjalan dengan baik, putaran-putaran bulat serta dendangan Hari Raya itu menjadi monotonous, apalagi apabila lagu-lagunya diulang-ulang dan jalan ceritanya yang berjela-jela. Mungkin konsep ini masih dimainkan dalam randai tradisi, tetapi mereka banyak mengejutkan penonton dengan tepukan-tepukan dan paluan-paluan yang terhasil dari seluar hitam besarnya, serta pertarungan penchak silatnya.

Akademi Seni Kebangsaan pula mempersembahkan randai tradisi yang membawa  cerita Puteri Nilam Sari karya Wisran Hadi, arahan Dr. Zainal Latif di Panggung Eksperimen pada 21-23 Disember 2005. Persembahan randai tradisi ini menampilkan 38 orang barisan pelakon, penyanyi dan pemuzik yang terdiri daripada para pengajar, pentadbir dan pelajar akademi. Putri Nilam Sari (Jamaliah Azman), anak perempuan tunggal Raja Tua, ingin diperjodohkan dengan johan gelanggang yang terdiri daripada raja-raja. Dalam diam Putri Nilam Sari sudah jatuh cinta dengan Ameh Dunia (M. Adika Zainal) yang sedang menjalankan projek mahasiswanya.

Produksi yang gilang gemilang ini begitu meriah dengan pakaian yang gemerlapan, ruang bulatan permainan yang dicat dengan kerawang-kerawang dan pucuk rebung serta gadang yang terbentang dibelakang pentas, diduduki para pemain muzik dan penyanyi. Ruang lakon di luar bulatan besar mengadap penonton yang dipancari spot light melahirkan ruang istimewa, sekaligus melahirkan keunikan dalam randai ini. Ruang ini sering digunakan sebagai menyatakan isihati watak-watak. Yang nyatanya teater tradisi randai ini telah menampilkan pelakon lelaki yang begitu berkaliber dan jarang ditampilkan, Ce’ Kem yang berperawakan segak, tampan dan gagah.

Dr. Zainal Latif, didikan University of Hawaii, jelasnya masih menyambung tradisi randai tradisional yang hingga kini masih diajarkan di sana. Pada musim panas 2005 yang lalu, saya juga didedahkan dengan persembahan randai dari Sydney, Australia yang menampilkan konsep randai dengan menggabungkan unsur Hip-Hop dalam cerita William Shakespere yang ditampilkan oleh Indija Mahyuddin. Pada bulan Julai 2005 pula Petronas Performing Arts Group menampilkan konsep randai dalam pementasan muzikal Uda dan Dara-nya. Pendekata tahun 2005 telah menyaksikan  penggiat-pengiat teater tanahair menggali khazanah budaya ibunda. Apakah arus ini ada sinonimnya dengan politik bangsa dan budaya kita?

Malam Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Teater Wilayah Persekutuan pula diperindahkan dengan persembahan Wayang Kulit oleh Kumpulan Wayang Kulit Pak Nasir dengan cerita Penculikan Siti Dewi, dimana tiga pelawak dalam Kerajaan Seri Rama pergi mencari Siti Dewi di Istana Mahraja Wana. Kepetahan Pak Nasir menyelitkan unsur-unsur budaya popular yang mengaitkan nama Mawi begitu menggamatkan suasana. Yang nyatanya, teater tradisi masih mampu memberikan hiburan kepada genarasi muda. Tapi apakah usaha kita untuk memastikan yang teater ini terus hidup dan berkembang.

Melahirkan rasa lega

Stor Teater DBP, yang baru dibuka semula setelah lama ditutup untuk renovasi mempersembahkan empat karya baru:

  1. Drama Hering oleh Wahab Hamzah
  2. B’Badi oleh Sabri Yunus & Wan Hanafi Su
  3. Lembah Semantan oleh Ladin Nuawi
  4. Aghi Ni Jadi Jjaha pada 19-22 Disember

Ianya menampilkan dua drama yang berlainan pada setiap malam. Pada 19 Disember, saya menonton  Hering dan Lembah Semantan.

Hering hasil adaptasi novel Naratif Ogonshoto karya Anwar Ridhwan adalah sebuah kisah simbolika tentang politik, kekuasaan dan kasih sayang. Ceritanya berkisar tentang Presiden politik Ogonshoto yang merasa tercabar oleh karisma seorang ahli politik dari Rukanita, dan mengirim seorang utusan, si pemburu yang licik untuk membunuh politikus Rukanita dengan helah memburu di hutan Rai Papa. Walaubagaimanapun anak perempuannya merasakan adanya tipu muslihat dalam kematian ayahnya. Anak perempuan politikus Rukanita diperankan oleh Syarifah Aqila, sekaligus menampilkan beliau sebagai pelakon wanita yang berpotensi besar. Ruang yang kecil di Stor Teater DBP hanya memungkinkan penggunaan ruang yang efektif serta pencahayaan yang minimal, kostum serta set yang minimal, serta kesan bunyi-bunyian amat bersesuaian dengan persembahan teater laboratori.

Lembah Semantan adalah karya Ladin Nuawi yang terkenal sebagai pelopor teater kanak-kanak dan sehingga kini masih aktif. Drama ini menampilkan teater berbentuk penceritaan yang dilakonkan oleh Sarina Abdul Aziz sebagai Wan Shamsiah yang sudah tua dengan cetusan-cetusan peristiwa mengharungi kemerdekaan. Drama ini jelas mempamerkan semangat patriotisma kemerdekaan sekaligus penggalian sejarah-sejarah tempatan yang tertimbus oleh penulis-penulis sejarah nasional. Sesungguhnya kedua-dua sejarah ini amatlah penting, dan sememangnya orang Melayu begitu sebati dengan tradisi lisan dan penceritaan.

Apa yang menarik juga dalam drama ini adalah pengkisahan sejarah yang ditimbulkan oleh tugasan sekolah  cucu Wan Shamsiah. Penonton-penonton kecil yang hadir di bahagian hadapan begitu khusyuk dengan lakonan, pertarungan dan penceritaan Wan Shamsiah. Wan Shamsiah semasa mudanya dilakonkan oleh Adibah Ali dengan berkesan sekali, selayaknya seorang gadis yang tinggi maruahnya, dan tinggi rasa kecintaannya terhadap kekasihnya yang berjuang untuk menegakkan bangsa, sanggup menjahit bendera Malaysia dengan tangannya.

Terasa juga yang drama pendek ini terlalu sarat dengan pengajaran dan kehadiran Tengku Gaffar yang terjadi anti-klimaks. Apapun, himpunan empat drama pendek ini melahirkan rasa lega yang teater Melayu terus melahirkan karya-karya baru yang menarik. Persembahan teater yang dihadiri nama-nama besar seperti Sastrawan Negara A. Samad Said, aktivis filem Dr. Anuar Nor Arai, aktivis seni visual Rahimi Harun serta beberapa pelakon drama tempatan ini penuh sesak, walaupun ianya cuma mempunyai kapasiti 80 orang termasuk bersila dan bersimpuh dilantai beralas tikar plasah, kerusi-kerusi pejabat serta kekuda-kekuda kayu panjang.

Masih kuat mencengkam bumi

Minggu Teater ASK yang berlangsung pada 16-24 Disember pula tidak kalah dengan karya-karya baru yang mempersembahkan IV Monodrama pada 16-19 Disember di Panggung Eksperimen, dan antara lainnya Pertemuan Bangsawan ASK dan Singapura 24 Disember 2005. Empat monolog tersebut termasuklah:

  1. …Dan Tiga Dara Terbang Ke Bulan karya Aidii Alin Mosbit adaptasi Marlenny Deen Erwan, lakonan Intan Carina Abdul Karim, arahan Shariful Akma Abdullah
  2. Bila Bulan Menangis karya Rohaya Atan, lakonan Shahrul Mizad Ashaari, arahan Juhara Ayob
  3. Angin Mengambang karya Hamzah Tahir dan Zaifri Hussin, lakonan Hamzah Tahir, arahan Zaifri Hussin
  4. Kopi Pangku karya Rosminah Tahir arahan Rosminah Tahir.

Angin Mengambang menceritakan kisah sebuah keluarga yang mempunyai tiga adik-beradik lelaki yang berlainan sifatnya didalam kongkongan seorang ayah yang begitu tegas serta seorang ibu yang lembut hatinya. Hamzah Tahir, seorang pelakon lelaki handalan yang pernah memenangi Pelakon Terbaik dalam Tanah Bernanah arahan Aminar Raphur, sudah berlakon dengan pengarah-pengarah handalan negara termasuk Hatta Azad Khan, Rosminah Tahir, Azanin Ahmad dan Mendiang Krishen Jit. Kali ini Hamzah melakonkan monolog yang begitu mencabar sekali, membawa sekurang-kurangnya enam watak empat lelaki dan dua wanita. Penggunaan ruang yang begitu baik sekali disulami dengan desain lampu yang simple dan berkesan. Sayang sekali beliau kurang menguasai lagu-lagu yang didendangkan.

Tapi walauapapun, cetusan-cetusan akhir dalam tahun 2005, meninggalkan kesan yang falsafah berteater dalam dunia Melayu hidup subur dalam ruang-ruang yang kecil serta bersifat eksperimental, dan teater tradisi Melayu masih kuat mencengkam bumi, apatahlagi ketika panggung nasional kita sedang beradu sebentar. Maka wajarlah untuk semua meneruskan eksplorasi dan eksperimentasi warisan jiwa, sekaligus memantapkan konservasi khazanah warisan teater tradisi yang jarang dipakai.

Pada hakikatnya, ujar seorang pengarah teater wanita, “Teater Melayu ni susah nak hidup, kalau kerajaan tak tolong, lingkuplah ia! Kita ni bukannya boleh ambil duit penajaan dari syarikat arak, rokok atau perjudian, tak halal, nanti banyak pulak yang boikot dan tak ada yang nak menonton. Sememangnya bukan senang nak jadi penggiat teater di Malaysia (atau di manapun di dunia), walaupun berpendidikan teater dari institusi pengajian tinggi.”

Memang diakui juga yang teater Melayu susah dijejaki oleh orang awam kerana publisitinya jarang ada di suratkhabar, apalagi di akhbar Bahasa Inggeris, yang ada cuma ulasan selepas persembahan. Keadaan ini masih tak berubah sejak bertahun-tahun. Begitu juga dengan perancangan menjadualkan persembahan, itulah sebabnya banyak persembahan bertindan-tindan. Alangkah bagusnya kalau ada sebuah agensi yang mengendalikan penjadualan persembahan di Kuala Lumpur dan Lembah Kelang.

~~~

Zulkifli Mohamad adalah seorang koreografer, penari dan akademik

First Published: 09.01.2006 on Kakiseni

Related items

For Translation

The 8th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

The 7th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.