Pendekar Bujang Gemuk

Seorang sutradara yang saya kenali, Yasmin Ahmad (alah, Yasmin yang buat iklan Petronas dan filem Rabun yang kena potong bagai nak rak kat TV3 tu ler!) telah menghantar SMS kepada saya sejurus selepas beliau selesai menonton tayangan perdana filem Buli. Min memberitahu kepada saya dengan bersungguh-sungguh bahawa inilah filem Bahasa Malaysia paling kelakar yang pernah ditontonnya selepas filem Pendekar Bujang Lapok. Min kata, dia ketawa terbahak-bahak sewaktu menonton filem ini, walau bagaimanapun, tidak semua penonton yang hadir yang ikut ketawa. Ada yang hanya duduk diam. “Mereka mungkin terkejut melihat sesuatu yang baru dalam filem Melayu,” katanya kemudian.

Saya rasa, memang betul kata-kata Min, mungkin ramai akan terkejut melihat kualiti yang mereka perhatikan dalam filem Buli ini, kerana Buli adalah sebuah filem yang dibuat dengan ikhlas dan yang paling penting, sebuah filem yang telah dibikin dengan baik.

Bagi saya, mungkin filem ini setaraf dengan filem-filem komedi arahan Othman Hafsham seperti Adik Manja dan Mekanik yang telah dibuat dengan baik pada era tahun 80-an dahulu. Buli adalah sebuah komedi yang cerdik dan tidak cuba untuk membodohkan penonton (seperti saya). Kerinduan kita kepada filem-filem komedi yang telah dibuat dengan baik akhirnya terubat dengan kemunculan Buli.

Filem Buli ini berkisar tentang Nordin (Afdlin Shauki), seorang pengaturcara komputer dari syarikat MichaelSoft Computer yang mempunyai masalah dengan berat badan dan inferiority complex. Sejak kecil lagi, beliau telah menjadi mangsa Buli rakan sekampungnya bernama Roy (Hans Isaac), yang entah mengapa akan muncul di dalam hidupnya dari kecil sehinggalah dia dewasa. Dalam kekalutan dunianya inilah beliau diketemukan dengan doktor Ika (Nasha Aziz). Nordin jatuh hati kepada doktor Ika, walau bagaimanapun, doktor Ika sudah pun mempunyai seorang kekasih.

Ada yang akan mengatakan filem ini terdapat banyak adegan-adegan yang tidak logik, tetapi tak kan kita pergi mencari logik dalam komedi pulak. Gaya Afdlin konsisten dengan filem-filem tak masuk akal Stephen Chow (yang dikenali dengan panggilan “mo lei tau” di Hong Kong).

Sewaktu menonton filem Buli pada setengah jam terakhir, saya rasa filem ini seperti kehilangan arah. Filem ini tidak lagi tertumpu pada permasalahan berat badan dan inferiority complex Afdlin, tetapi kepada masalah perisiannya yang diciplak Roy dan apa yang cuba beliau lakukan untuk mendapatkan kembali kepercayaan dari majikannya, Tan Sri Micheal (Patrick Teoh).

Kebanyakan pembikin filem Bahasa Malaysia seperti mahu meletakkan seluruh kenyataan kehidupan dalam filem mereka sehingga hilang segala tumpuan dalam filem. Ada baiknya jika Afdlin tumpukan jalan cerita kepada masalah berat badan watak Nordin serta cara-cara untuk beliau mengatasinya (kerana saya sendiri tidak sabar nak tahu cara menghilangkan berat!). Adegan rompakan bank yang diketuai oleh watak penjahat yang dilakonkan oleh AC Mizal, dan juga adegan wad sakit jiwa yang akhirnya berubah menjadi sebuah muzik video macam kekurangan bajet, agak mengelirukan. Kalau nak buat Buli kelakar, “spoof kan sahaja filem Cinta Kolesterol yang memang berlemak nipis itu.

Tapi satu adegan wajib tentulah adegan Joanna Bessey dengan produk menguruskan badannya itu. Inilah kali pertama saya rasa loghat Joanna yang pekat ketika “speaking London” sokmo dipergunakan dengan sebaik­-baiknya.

Afdlin mempunyai banyak pengalaman dengan beberapa rancangan komedi di kaca TV. Filem Buli ini sendiri kelihatan seperti beberapa siri sketsa TV yang lucu, jitu, penuh dengan adegan gurau senda dan fantasi. Tetapi, di sebalik kelucuan slapstick yang ditonjolkan Afdlin, tersirat sebuah cerita seorang anak muda yang mahu dirinya dihormati dan kerjanya diiktiraf.

Jika ditanya kepada saya adakah saya menyukai filem ini, jawapannya tidak. Jika ditanya pula kepada saya jika filem ini adalah sebuah filem yang bagus, jawapan saya adalah: Filem ini adalah filem Bahasa Malaysia genre komedi terbaik. Jadi filem ini saya anggap penting. Ia penting kerana diharapkan filem ini dapat mengejutkan ramai pembikin-pembikin filem Melayu yang telah lama tidur (juga penontonnya) dan diharapkan mereka akan mula sedar bahawa kini, masa untuk filem-filem Melayu berlawak bodoh sudah berakhir dengan satu noktah.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk memuji Afdlin kerana telah mengambil pelakon-pelakon dari pelbagai bangsa di Malaysia seperti mana yang cuba dilakukan oleh Othman Hafsham satu ketika dahulu (bak kata watak Nina dalam filem Mekanik: “Orang putih ke, orang hitam ke, orang coklat ke… orang biru ke. Kita orang Malaysia kan?!”).

Walaupun filem ini masih ketara kelemahannya, kesungguhan dan keikhlasan Afdlin untuk menyiapkan naskhahnya jelas dapat kita lihat. Afdlin yang kita pernah kenali sebagai seorang pelakon, penyanyi, pelawak, pengacara; (saya pun tak tahu apa yang beliau belum cuba lagi) kini boleh kita gelar sebagai seorang pengarah. Dan saya pasti, seorang pengarah yang mampu menggegarkan dunia perfileman Malaysia satu hari nanti.

First Published: 25.03.2004 on Kakiseni

Related items

For Translation

The 8th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

The 7th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…