Perlukah Terseksa?

Stor Teater DBP malam itu agak padat dengan personaliti-personaliti tanahair yang mungkin tidak mahu melepaskan peluang menonton persembahan teater yang diterbitkan oleh Sekutu Teater-lndi Melayu yang diasaskan pada Mei 2003 oleh Melissa Saila dan Adlin Aman Ramlie.

Jika ditinjau dari segi publisiti, DBP sudah mula bijak mengatur strategi dan memancing pengunjung-pengunjung gelanggang Faridah Merican dan Joe Hasham di Bangsar Shopping Centre dengan mengagihkan poster dan risalah mereka di sana. Walaupun kurang berjaya memancing ikan-ikan besar yang  sering berlegar di foyer Actors Studio Bangsar sambil menghirup secawan kopi Lavazza dan membetulkan pashmina Fendi yang hampir terlucut dari bahu, terdapat segelintir penggiat-penggiat muda teater berbahasa lnggeris yang bersifat adventurous dan ingin mencari kelainan yang telah hadir pada persembahan malam itu.

Saya terpanggil untuk membuat ulasan ini dengan fikiran yang terbuka – tanpa desakan mana-mana pihak dan juga tanpa mengambil mana-mana bahagian di gelanggang teater yang [nampaknya telah] disegregasikan mengikut bahasa. Mungkin kerana hati saya tercuit setelah membaca poster-program Saksi yang dipersembahkan oleh DBP. Sekilas pandang, terasa aneh juga membaca suatu program teater kelolaan DBP yang penuh dengan kesilapan-kesilapan ejaan dan tatabahasa. Saya bukanlah seorang pakar linguistik bahasa Melayu, tetapi tersenyum juga apabila meninggalkan DBP malam itu sambil terpandang kain rentang biru berbunyi: Gunakanlah Bahasa Melayu Dengan Betul. Tidak mengapalah, soal pemartabatan bahasa Melayu oleh DBP boleh dikupas di dalam artikel yang lain.

Dang Wangi: Perempuan, lsteri dan … ?

Saya akui pemikiran saya menjadi sedikit tidak keruan setelah menonton Saksi malam itu. Mungkin juga kesilapan itu perlu saya bebani memandangkan pemikiran saya telah diorientasikan mengikut sinopsis yang tertulis di dalam program. Dang Wangi [Melissa Saila], dibayangkan sebagai seorang wanita yang ‘bertekad dan pasti’ untuk ‘membongkar rahsia sulit peristiwa pertarungan Jebat-Tuah di istana’. Rumusan persembahan teater diakhiri dengan: ‘Pertemuan Dang Wangi dan Patih Karma Wijaya membuka rahsia kejadian yang sebenar-benarnya’. Dang Wangi yang terkhabar iras srikandi à la Angelina Jolie di dalam Tomb Raider yang berusaha untuk menegakkan kebenaran dengan memansuhkan kemungkaran.

Di dalam pemikiran saya, Saksi terbayang sebagai suatu usaha murni untuk mengubah persepsi masyarakat phallocentric tentang kaum wanita. Dang Wangi bersifat sebuah kisah keterlanjuran yang timeless – bagaimana dia ‘bertekad dan pasti’ untuk ‘membongkar’ (meminjam kata-kata dari program) konspirasi untuk memburuk dan menjatuhkan nama baiknya dan juga kekasihnya, Jebat. Tukarkan sahaja lokasi cerita kepada Republik Bangsar, nama Dang Wangi kepada Farah dan nama Jebat kepada Dato’ Mansor dan nah, kisah Dang Wangi yang tradisional akan menjadi kisah semasa yang pedas buat liuran peminat setia akhbar tabloid Harian Metro.

Namun jauh panggang dari api.

Nasib Dang Wangi di dalam Saksi tidak ubah seperti nasib watak Sofea Jane Hisham yang diperabdikan lahiriah dan batiniahnya di dalam Perempuan, lsteri dan …. Cara Patih Karma Wijaya [Rosdeen Suboh] mengherdik Dang Wangi persis aksi Nasir Bilal Khan memaki-hamun Sofea Jane. Secara kebetulankah pengaruh U-Wei Hj Shaari turut terserap sama memandangkan beliau adalah salah seorang kolaborator untuk Saksi?

Di manakah silapnya sehingga watak Dang Wangi hanya terhad kepada bahan cercaan Patih Karma Wijaya serta pembuat dan penghidang air untuk Jebat? Dialog-dialog yang diucapkan oleh ketiga-tiga watak lelaki apabila berbicara tentang Dang Wangi boleh membuatkan Azalina dan Marina tidak senang duduk. Adakah watak Dang Wangi diolah sebegitu rupa agar tidak jauh larinya dari watak-watak wanita berair mata di cerekarama bergred B di kaca televisyen? Jika itu yang diinginkan, sesungguhnya telah tercapai hasrat produksi ini kerana berjaya menagih simpati penonton dengan pembawaan watak oleh Melissa yang tidak kurang berkesannya.

Jebat dan Tuah: Ambiguous Homo Sapiens?

Watak Tuah yang dibawakan oleh Adlin Aman Ramlie bukanlah watak terkuat yang pernah dibawanya. Seacara peribadi, saya lebih menggemari lakonan beliau di dalam Alang Rentak Seribu dan Jogho yang jauh lebih berkesan dan meyakinkan.

Di dalam konteks kontemporari, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Tuah telah dianggap sebagai penderhaka yang sebenar oleh segelintir rakyat Malaysia kerana mengikut kata-kata pemerintah yang  zalim secara membabi buta. Tuah hanyalah boneka kerajaan. Idea pre-conceptualised ini menyebabkan watak Tuah kurang mendapat perhatian penonton. Selain daripada itu, Tuah nampak seperti wujud di dalam satu dimensi zahir sahaja – cukup setakat terlintuk-liuk di atas pentas bersilat dan beradu tenaga dengan saudaranya, Jebat. Dimensi batiniahnya pula (seperti emosi) agak kabur dan sukar untuk ditelah.

Sekalung tahniah harus diberikan kepada Khir Rahman kerana dengan jayanya telah membawa watak Jebat yang lebih kompleks. Jebat sebagai kekasih, pasangan hidup, teman, saudara dan seteru-setiap peringkat ini menonjolkan Khir di dalam personaliti yang berbeza; Walaupun kurang menyerlah dari segi kebijaksanaan pengolahan dialog, watak Jebatlah yang seharusnya menjadi protagonis persembahan malam itu. Bukan Tuah, Patih Karma Wijaya dan jauh sekali Dang Wangi.

Patih Karma Wijaya: Cold-blooded Reptile Jika diambil kira niat Saksi untuk dipersembahkan sebagai ‘satu interpretasi baru yang dirangsang dari beberapa teks lain sebagai bahan rujukan dan perbandingan’ (meminjam kata-kata dari program), ia sememangnya berjaya kerana memberikan satu lagi alternatif cerita kepada kisah pembunuhan Jebat. Jika Jebat sering dibayangkan mati ditangan Tuah dengan tusukan keris Taming Sari, Saksi menyaksikan Jebat cedera ditikam Patih Karma Wijaya.

Watak yang dibawa Rosdeen selaku ‘dalang pada kemuncak peristiwa pertarungan Jebat-Tuah di lstana  Melaka’ amat menarik. Wataknya bersifat sebagai indirect antagonis – tatkala Jebat dan Tuah bertikam-tikaman di istana, Patih Karma Wijaya pula meneguk di air keruh bersama Dang Wangi yang hidup dalam serba ketakutan.

Sewaktu Jebat dan Tuah sibuk beradu tenaga untuk membuktikan kebenaran (dan mungkin juga kejantanan) masing-masing, Patih Karma Wijaya hanya mampu berlagak jantan dengan seorang wanita yang ditimpa celaka (sedarkah anda bahawa watak Patih Karma Wijaya banyak wujud di dalam adegan-adegan bersama Dang Wangi sahaja?).

Samuel Beckett pernah berkata: “No symbolism where none intended”. Kepala Rosdeen yang dicukur rapi dan caranya merangkak  dan menyusur keluar masuk pentas membuatkan hati kecil saya sukar untuk tidak mengaitkan watak Patih Karma Wijaya dengan seekor ular yang licik. lbarat Sang Ular yang memujuk rayu  Hawa agar memetik dan memakan buah epal larangan. Mungkin sifat kelicikan reptilia ini yang ingin digarap dan disatukan di dalam watak Patih Karma Wijaya.

Set Saksi: Medan pertempuran berita

Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam Stor Teater DBP, saya agak terpegun dengan set Saksi yang nampak mudah dan sambil lewa tetapi penuh dengan makna dan simbol. Beberapa helai tirai fabrik transparen tergantung dari lelangit dewan. Bongkah-bongkah putih beraneka saiz terselang-seli dengan longgokan susuran naskhah-naskhah suratkhabar (dari tempat saya duduk, hanya dapat dilihat Harian Metro dan The Malay Mail sahaja). Naskhah-naskhah inilah yang menjadi pijakan dan langkahan Jebat dan Tuah. Mungkin tindakan ini bermaksud mempertikaikan kesahihan berita-berita yang disogokkan kepada masyarakat umum setiap hari. Terserah kepada setiap individu untuk menelah apa yang tersurat dan tersirat.

Walau bagaimanapun, permainan cahaya agak kacau. Lampu malap yang ditonjolkan sewaktu saya melangkah masuk ke dalam dewan terus-menerus dikekalkan sehingga ke penghujung pementasan. Mata harus dijegilkan di dalam suasana yang samar-samar. Selain itu, teknik black out yang acapkali digunakan hanya memburukkan keadaan. Kali terakhir saya membilang black outs dalam dengusan amarah adalah sewaktu menonton Ronggeng Rokiah di lstana Budaya. Tidak perlulah dipertikaikan lagi kesalahan teknik seperti ini yang boleh membuatkan banyak tinta hitam tertumpah (sekadar meminjam peribahasa Perancis).

Saksi: Saksikanlah Secara rumusannya, bolehlah dikatakan bahawa Saksi masih boleh dan perlu dibaiki persembahannya. Corak penceritaan yang tidak linear membuatkan penonton-penonton hilang arah kronologi (adakah Saksi dipentaskan secara flashback dari kacamata Dang Wangi?).

Sekalung penghargaan harus diberikan kepada Sekutu Teater-lndi Melayu kerana telah sedikit sebanyak berjaya mengadaptasi  dan mendekonstruksi naskhah-naskhah drama tradisional.

Namun, dialog-dialog yang banyak berbau perkauman dan kejantinaan seharusnya diperkemaskan lagi untuk tidak menyinggung mana-mana pihak yang mungkin terguris dengan ucapan-ucapan sebegini. Perlu diingat bahawa persada teater berbahasa Melayu yang dicipta khas untuk bangsa Melayu tidak seharusnya dipakai lagi seandainya penggiat-penggiat teater Melayu ingin menarik minat bangsa-bangsa Malaysia yang lain untuk datang bertandang.

Apakata tembok perkauman [Melayu] itu dipecahkan juga supaya naskhah-naskhah dari Eropah dan benua­ benua lain dapat juga dipentaskan dengan gahnya di DBP? Pasti boleh!

Adam Tuan Mukriz sedang membaca Subterraneans karya Jack Kerouac serta menonton dan mengkaji filem Huit Femmes arahan François Ozon.

First Published: 05.11.2003 on Kakiseni

Related items

For Translation

The 8th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

The 7th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.