Ukiran Budi Siti Zainon Ismail

Profesor Madya Dr. Siti Zainon Ismail: satu nama yang tidak asing lagi di dalam dunia sastera, seni dan budaya tanahair. Dilahirkan di Gombak pada tahun 1949, Siti Zainon mendapat ijazah Sarjana Seni Rupa menerusi Akademi Seni Rupa Indonesia di Jogjakarta pada tahun 1973. Pada tahun 1974 hingga 1976, beliau bekerja sebagai jurulatih kesenian di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Dari sini beliau melibatkan diri dengan kerja-kerja penyelidikan kesenian tradisional seperti Wayang Kulit, Mak Yong dan Menora di samping mengendalikan kegiatan seni lukis kanak-kanak di Taman Budaya dan Pasar Seni Jalan Belanda. Beliau seterusnya menyumbangkan khidmat sebagai pensyarah Seni Budaya di Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi dan hingga kini masih aktif menghasilkan buku-buku kreatif dan ilmiah.

Yayasan Kesenian Perak telah menganjurkan program bulanan ‘Gebang Seni’ bersama Siti Zainon Ismail pada 22 Jun 2002 bertempat di Rumah YKP, lpoh. Dihadiri hampir 50 orang peserta yang terdiri daripada tokoh-tokoh seniman, pensyarah serta pelajar seni di sekitar Perak, Siti Zainon, seorang seniman yang punya ramai penyanjung, telah berkongsi ilmu serta pengalaman artistiknya selama pembabitan beliau di persada seni dan budaya tanahair.

Sebagai mukadimah, Siti Zainon telah meluahkan kerisauannya tentang pengaruh teori-teori serta pembelajaran seni Barat yang diagung-agungkan sehingga kita menjadi alpa tentang kekayaan praktis dan pengucapan seni dalam kehidupan seharian nenek moyang kita. Kajian yang beliau lakukan sejak 1976 hingga kini untuk mencari definisi seni dalam konteks alam Melayu masih belum mampu mengungkapkan definisi itu dengan jelas. Hingga sekarang, makna seni di dalam lingkungan budaya Melayu Nusantara atau budaya masyarakat di alam Melayu masih juga belum dapat dirujuk di dalam mana-mana buku.

Berdasarkan beberapa teks yang dikaji beliau dan teman-teman, dan juga melalui pembelajaran antaranya dengan Profesor Mohd Taib Osman dan Profesor Muhammad Hj. Salleh, akhirnya telah dapat menyumbang kepada pemahaman seni dalam erti kata yang sebenar. Kajian terperinci yang dilakukan hasil lawatannya ke dunia desa, bukan menara gading – seperti pertembungan yang terhasil dengan Allahyarham Pak Mail juru silat Tarinan di Perlis, Allahyarham Pak Nakula di Kelantan, Allahyarham Hamzah Awang Amat, Allahyarhamah Khatijah Awang dan lain-lain – telah banyak memberi jawaban kepada persoalan-persoalan pokok tentang kemelut ini. Bukan itu sahaja, Siti Zainon juga amat beruntung kerana telah berpeluang berguru dengan Allahyarham Profesor Ali Hasjmy, seorang ulama dan tokoh budaya yang ditemuinya di Acheh bagi pengisian tentang pemahaman akidah, selain dengan tokoh-tokoh yang mendapat pengajian dari Barat seperti Sutan Takdir Alisjahbana, Mochtar Lubis dan sebagainya.

Dalam usia pencarian yang agak panjang, masih sedikit yang baru diketemuinya. Tidak terdapat istilah lukisan dalam teks sastera; yang ada cuma tulisan indah-indah yang terlalu ajaib rupanya. Beliau memberi contoh karya ukiran yang menggendong tulisan di dalam teks yang dikatakan mempunyai semacam minda tersendiri.

Beliau menjelaskan – perkataan ‘seni ‘ mula dipakai bagi merujuk kepada alat kecil, daripada logam halus yang telah dihadiahkan kepada raja Melaka pada abad ke 15. Ketika itu rombongan daripada Maharaja Ming telah menghadiah ‘sepilu’ jarum sebagai hasil produk China ke Melaka bagi membayangkan betapa ramainya rakyat China. Jarum yang ‘seni-seni’ (yang sangat halus): walau pun halus tetapi bisa membawa tusukan maut. Istilah ini bolehlah diberi makna bahawa perkataan seni tidak saja melambangkan bentuk yang kecil tetapi jiwa yang dikandunginya seperti ‘ tajam menusuk’.

Antara kisah sejarah yang dapat dikupas hasil pengkajian Siti Zainon merujuk kepada satu peristiwa di mana Hang Nadim telah ditugaskan untuk mendapatkan kain di India oleh Sultan Mahmud sekitar abad ke 15. Malangnya tidak ada seorang pelukis India pun yang dapat melahirkan corak (design) mengikut kemahuan Sultan iaitu tentang tulisan yang ajaib-ajaib yang tidak terkira indahnya. Seni tulisan masyarakat Melayu Nusantara, merupakan ukiran seni yang tiada tolok bandingnya. Waktu Hang Nadim pulang dari India, kapalnya telah pecah di kawasan Sri Lanka (Ceylon). Raja Ceylon ketika berkenal-kenalan telah bertanya tentang kepandaian rakyat negeri Melayu menghasilkan sesuatu yang indah. Kebetulan tatkala itu sedang berlangsung pesta tanglung, Hang Nadim telah mendapat idea mengukir tulisan di kulit telur yang kemudiannya diisi dengan dian. Raja Ceylon telah memuji keindahan ukiran dan tulisan orang Melayu pada masa itu. Bermakna, pada zaman tradisi agung tersebut telah wujud pengertian serta apresiasi seni.

Siti Zainon juga merupakan seorang pelukis. Beliau tidak pernah berhenti melukis. Dan setelah melukis dan melukis, apakah yang dapat dikatakan sebagai definisi seni lukis? Ramai orang bertanya bagaimana seni lukis Melayu? Malaysia? Johor? Melaka? Apakah bentuk-bentuk yang relevan dengan etnik-etnik di Semenanjung Malaysia? Pertanyaan-pertanyaan itu telah membuatkan Siti Zainon berfikir tentang konsep serta definisi ‘ukiran’.

Bermula 1998, di mana seluruh dunia gawat dengan peperangan di Bosnia dan Afghanistan; yang mana kebanyakan mangsa-mangsa dikebumi tanpa batu nisan, Siti Zainon telah diberi ‘maunah’ (petunjuk) untuk mengukir karya – simbolik kepada bentuk-bentuk batu nisan. Sebenarnya beliau telahpun memulakan kajian seni ukir sejak tahun 1976 -1979 sewaktu menyiapkan tesis sarjananya. Pada tahun 1983 beliau lebih serius mengkaji seni ukir Kelantan dan Terengganu, tentang kayu nisan, wakaf di makam diraja Langgar serta ukiran seni bina istana Jahar, termasuk ukiran patung wayang kulit. Antara gurunya di bidang ini ialah Pak Wan Su di Besut dan Latiff Long di Kelantan. Manakala tokoh wayang kulit yang memberinya konsep warta patung ialah Allahyarham Hamzah Awang Mat. Hampir 22 tahun kemudian barulah beliau mula memegang penukul kayu dan mula membenam mata pahat ke permukaan kayu. Siti Zainon terus membuat kajian tentang seni ukiran Kelantan. Hasil ekspedisi dan ekskavasinya, beliau mendapati bahawa seni ukir tertua telah wujud pada nisan di makam Long Yunus. Namun tidak seperti yang biasa kita andaikan, nisan tersebut dibuat daripada bahan kayu dan bukan batu.

lnteraksi Siti Zainon dengan persekitaran makam bukanlah suatu perkara baru. Sewaktu berusia 6 tahun lagi, beliau telah mengaji di makam diraja di Langgar, Kelantan. Ketika itu, ‘Guru Mat’ (ayahanda kepada Pak Nakula) merupakan ulama yang membimbingnya. Walaupun anak-anak lain hadir setiap jam tujuh pagi, keanehan peribadi seorang ulama ini membuatkan beliau lebih senang datang ke makam seawal jam enam. lni kerana Guru Mat terlebih dahulu menurunkan ilmu mengenai seni wayang kulit kepadanya. Di situlah Siti Zainon mula mengenali karakter patung-patung wayang seperti Siti Dewi dan lain-lain. Selain pakar mengenai wayang kulit, Guru Mat turut mengukir. Setelah dewasa, beliau merumuskan bahawa sebenarnya konsep seni dan agama tidak dapat dipisahkan.

Peristiwa paling penting yang menjadi katalis kepada hobi baru beliau adalah apabila sepohon tua acacia telah tumbang di perkarangan Rumah PENA (juga pada tahun 1998) dan telah di’selamat’kan oleh Sutung Umar RS daripada dibakar oleh Majlis Bandaraya Kuala Lumpur. Tunggul pohon tersebut seterusnya dipahat dan dijadikan arca unik dan berseni oleh pengarca tanahair Mad Anuar dan tokoh sastera Sutung Umar.

Dengan darah seorang pengukir mengalir di tubuhnya (ayah beliau juga seorang tukang rumah), Siti Zainon telah menyahut cabaran mereka berdua untuk mengukir kayu di bawah bimbingan Mad Anuar sendiri. Hingga kini beliau masih terus-terusan mengukir. Dan peserta yang hadir di program Gebang Seni menjadi saksi pertama, menatap karya seni ukiran Siti Zainon. Dengan merujuk terjemahan ‘ukiran’ di dalam Sejarah Melayu yang bermakna tulisan, karya Siti Zainon banyak menyelitkan unsur-unsur kaligrafi serta motif-motif flora dan fauna yang membawa pengucapan lslamisasi dan harapan tentang kebaikan. Dan ketidakpuasan perasaan yang lahir ketika segala-galanya gawat pasca-98 – ekonomi, sosial dan politik global – telah terpahat indah melalui ayunan-ayunan penukul.

Para peserta seterusnya dibentangkan dengan story-telling yang penuh ekspresi dan theatrical oleh Siti Zainon. Beliau membaca naskhah cerpen “Kayu Bersurat” yang tercetus oleh sentuhan minda dan perasaan, bukan kisah peribadi; mengisahkan bagaimana beberapa orang pensejarah dalam usaha mencari apa yang dimaksudkan dengan kayu nisan dan batu bersurat. Selama ini, batu-batu bersurat lebih terkenal bilamana ia dibawa masuk dari Pasai semasa kedatangan Islam di Pase dan Perlak .

Pengarang menjelaskan bagaimana Profesor Mike Houtman, seorang pakar sejarah, menjadi begitu bingung tatkala bertembung dengan bentuk-bentuk kayu bersurat yang dihasilkan oleh ‘Okam’ (yang bermaksud Orang Kampung). Okam merupakan seorang wanita yang gigih mengukir kayu bersurat, bukan dengan bakat sebagai pengukir tetapi dengan keistimewaan mata hatinya; yang sangat ekspresif dan mempunyai nilai seni yang tinggi. (Rujuk cerpen “Kayu Bersurat”)

Terdapat pertalian erat di antara adegan-adegan di dalam cerpen dengan pengalaman Siti Zainon. Okam adalah jelmaan Siti Zainon di dalam dunia fantasi. Dunia kreatif yang menceritakan tentang kebobrokan era modenisasi yang perlahan-lahan bakal melenyapkan jiwa serta akar tradisi dan kebudayaan alam Melayu.

Beliau turut membentangkan kertas kerja bertajuk “Mengukir Budi Melayu” dengan menekankan tentang logika alam Melayu yang sangat bermakna. (Rujuk kertas kerja “Mengukir Budi Melayu”)

Di akhir acara para peserta telah tidak melepaskan peluang untuk meminta beberapa penjelasan serta memberi pendapat. Antaranya:

Dato’ Lat (kartunis) – mempersoalkan samada budi Melayu kini kian runtuh akibat kepesatan dunia teknologi dan moden.

Zulkifli Yusuf (artis visual / pensyarah) – memberi pendapat tentang hasil karya yang berestetika walau pun dilakukan dalam keadaan jiwa yang memberontak dan bergelora. Siti Zainon mampu mengukir budaya dengan perasaan, meluahkan kemarahan melalui zikir-zikir serta pengucapan-pengucapan yang indah yang turut mempengaruhi hasil karyanya.

Raja Shahriman (pengarca)- Menggunakan istilah ‘gelombang’, sesuatu yang halus yang tidak mampu disekat, yang banyak menjadi perosak nilai kepada budaya.

Siti Zainon membuat kesimpulan bahawa seseorang seniman itu tidak perlu menunjukkan kemarahannya secara literal, memberi contoh puisi oleh Edward Thomas (wartawan semasa perang dunia pertama) yang berbunyi:

Rimbun pohon ceri di bawah bayang

Di hujung desa tanah yang sepi

Daunnya berguguran dan bersanding

Pada bulan Mei

Tapi tidak ada pernikahan

(Puisi yang berkisar tentang peperangan serta kezaliman tetapi diluahkan dengan penuh keindahan)

Begitu juga karya-karya Lat yang mampu menyampaikan mesej yang kadangkalanya sinikal tetapi diadun penuh humour. Kejayaan siri “Kampung Boy” turut diperkatakan kerana mampu menerapkan unsur-unsur budaya serta tradisi amalan kehidupan masyarakat kita, yang memainkan peranan penting dalam usaha memartabatkan nilai­nilai budaya di Malaysia tidak mengira kaum dan bangsa.

Begitulah, setelah hampir tiga jam ‘disuntik dengan dosej ilmu yang amat tinggi’, harapan penganjur adalah supaya peserta Gebang Seni mampu pulang dengan semangat baru yang mampu memperkasakan jiwa dan minda serta bakal menaikkan rasa hormat dan kasih terhadap ‘ukiran budi’ dan seni di alam Nusantara.

 

First Published: 16.07.2002 on Kakiseni

Related items

For Translation

The 8th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

The 7th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.