KERTAS KAJANG: Kudisnya Bahasa!

Ada suatu macam propaganda jahat yang sedang disebarkan tentang angkatan pejuang bahasa dan pendidikan seluruh negara. la semakin kencang dengan hangatnya isu bahasa menjelang pilihan raya kecil di Pendang dan Anak Bukit.

Propaganda jahat ini dimulakan dengan bisikan-bisikan ‘nasionalis’, semakin lama semakin hebat, hinggakan label-label yang begitu mengkudiskan seperti ‘sempit fikiran’, ‘ekstremis bahasa’ dan ‘antibahasa lnggeris’ dilemparkan kepada golongan cendekiawan dan seniman yang tidak menyokong langkah baharu menggunakan bahasa lnggeris dalam pengajaran sains dan matematik di sekolah-sekolah.

Propaganda jahat ini pula terus mengibarkan peri pentingnya mempelajari bahasa lnggeris, seolah-olah mereka yang membangkang saranan terbaharu ini adalah mereka yang tidak sedar akan kepentingan bahasa tersebut.

Media nasional meluaskan kedajalan propaganda ini dengan menonjolkan rakaman interviu – orang-orang yang ditemuramah akan berulang kali memuntahkan kembali hujah yang sudah biasa kita dengar mengapa bahasa lnggeris itu perlu dikuasai masyarakat.

lni seperti suatu lagi usaha pembasuhan otak. Justeru, sesiapa yang termakan umpan ini pasti akan percaya bahawa mereka yang sibuk mempertahankan bahasa kebangsaan adalah cetek pemikiran dan tidak mahu bangsanya memajukan diri melalui penguasaan bahasa lnggeris.

Sebenarnya, pejuang bahasa tidak pernah mengatakan bahasa lnggeris itu tidak penting. Malah pergerakan bahasa sudah beberapa dekad (lama sebelum politikus terhegeh-hegeh dengan agenda bahasa Inggerisnya) menegaskan kepentingan bahasa lnggeris sebagai salur ilmu dunia.

Slogan ‘Bahasa Melayu Dijunjung, Bahasa lnggeris Dikendong’ sudah lama mereka laungkan dalam esei dan artikel sastera sejak dulu lagi. Akhir-akhir ini juga ia telah kelihatan pada sebuah sepanduk merentang pagar Dewan Bahasa dan Pustaka. Cuma baharu sekarang ejen-ejen propaganda yang tiba-tiba ‘celik’ budaya dan ilmu beria-ia pula nak mengatakan bahasa lnggeris itu penting. Ketinggalan!

lroni sekali, mereka yang dituduh sebagai antibahasa lnggeris sebenarnya adalah golongan sarjana, penulis dan seniman yang dalam kehidupan seharian mereka dipenuhi dengan pengkajian sastera lnggeris dan sastera daripada bahasa-bahasa utama dunia seperti Sepanyol, Perancis, Jerman dan Jepun.

Golongan penulis pula aktif dalam persidangan dan seminar sastera di barat yang membicarakan hal-hal perbandingan sastera. Jadi, siapakah yang lebih rapat dan mengerti tentang bahasa lnggeris, para penulis atau politikus yang hanya rakus membaca prospektus korporat dan tender syarikat?

Pada pejuang bahasa, masalahnya terletak bukanlah pada bahasa lnggeris itu sendiri – tetapi kependekan akal di sebalik ide kononnya mengajar murid mata pelajaran sains dan matematik dalam bahasa lnggeris akan menjamin mereka mahir dalam bahasa tersebut.

Sejak bila pula bahasa lnggeris, atau mana-mana bahasa sekalipun, boleh dikuasai sekadar melalui pemahaman formula algebra, trigonometri, hukum graviti Newton dan prinsip Bernoulli?

Bahasa lnggeris harus mempunyai kaedah pengajarannya yang tersendiri. la adalah lebih daripada sekadar mempelajari ejaan, istilah dan nahu, tetapi memerlukan pembacaan sasteranya yang boleh menerangkan penggunaan dan budaya pemikiran yang melahirkan bahasa tersebut. Dan jika kita lihat perkembangan sastera berbahasa lnggeris di serata dunia, maka bacaan harus juga meliputi karya-karya berbahasa lnggeris yang keluar dari benua India, Afrika dan sebagainya.

Penguasaan bahasa lnggeris bukan sekadar di bilik darjah. Jika kita fikir sekadar mengajar sains dan matematik dapat meningkatkan pencapaian dalam bahasa itu, kita tidak bersandar pada realiti. Bukan sahaja tidak berpijak di bumi nyata, tetapi dalam proses itu, kita sedang menjahanamkan kedaulatan bahasa kebangsaan.

Di Kuala Lumpur, saya pernah berpeluang mengenali Lorna Tee, seorang penggiat teater muda. Lorna adalah pemegang ijazah dalam pengajaran bahasa lnggeris dari sebuah kolej di United Kingdom, dan sejak beberapa tahun yang lalu gigih menganjurkan kelas drama bahasa lnggeris untuk kanak-kanak.

Di dalam kursus beliau, murid berpeluang mengambil bahagian dalam pelbagai permainan bahasa yang berteraskan lakonan dan seni teater. lni bukannya kelas seni lakonan, tetapi sejenis program untuk meningkatkan kemahiran pelajar dalam bahasa lnggeris.

Pendekatannya mudah: langkah pertama, jadikan murid merasa selesa dengan bahasa lnggeris. Melalui permainan bahasa, kanak-kanak di bawah didikannya itu berjaya merentas halangan terbesar dalam pembelajaran bahasa lnggeris, iaitu mereka dapat mengikis sikap gugup untuk berinteraksi dalam bahasa tersebut.

Walaupun masih tidak cekap bertutur, mereka kini cukup selesa berbicara dan membaca buku bahasa lnggeris. Sememangnya, penuturan dan pembacaan luas adalah penting dalam proses menguasai sesuatu bahasa.

Usaha-usaha dan hasil seperti yang dicapai oleh individu seperti Lorna inilah yang patut diberi perhatian oleh politikus sebelum mencetuskan suatu rombakan begitu dahsyat terhadap dasar pendidikan negara.

Sebenarnya, bahasa lnggeris adalah sama seperti mana-mana ilmu, ia perlu dipraktikkan untuk kita menguasainya. Bukan sahaja dalam ilmu akademik, perkara seperti moraliti dan akal juga begitu – kalau kita jarang mempraktikkan akal dan hemah, kita akan terus menjadi orang yang bodoh dan zalim, walaupun kita dilahirkan berotak dan berhati perut.

Terlebih dahulu sebelum bahasa lnggeris, negara ini sepatutnya menguasai akal dan hemah. Lihat sahaja cara bagaimana isu bahasa lnggeris ini ditangani, bagaimana ia terus dilaungkan pelaksanaannya tanpa sebarang usul periksa dan kajian menyeluruh, dan mengetepikan pandangan golongan pendidik dan mereka yang lebih pakar mengenai bahasa.

Dalam cita-cita negara untuk menguasai bahasa lnggeris, tidak perlu untuk bahasa kebangsaan dikorbankan kedaulatannya; tidak perlu kita kurang ajar mencabar kemampuan bahasa kebangsaan dan dasar perlembagaan, tidak juga kita perlu kompromikan maruah negara dan jati diri. lni kerana ada jalan lain yang lebih sesuai.

Langkah menggunakan bahasa lnggeris dalam pengajaran sains dan matematik hanyalah adang asap yang akan menutup pandangan kita terhadap masalah yang lebih besar yang lain yang dihadapi pelajar dalam kemajuan pendidikan dan ekonominya.

Apakah masalah-masalah itu? Terlalu banyak! Daripada budaya hidup hinggakan kepincangan pemikiran; kelemahan semangat bersaing, kelemahan ilmu, politik wang, dengki-mendengki dan beratus lagi masalah yang mencemarkan keluhuran aktiviti pendidikan dan pembangunan masyarakat. Sekiranya pelajar gagal memajukan dirinya di sekolah, harus kita fahami persekitaran keluarga dan masyarakat sekelilingnya – apakah pelajar benar-benar diajar nilai ilmu dan erti pendidikannya?

Mengapakah kita sibuk memaksa pelajar untuk cemerlang dalam peperiksaan, sedangkan dia sendiri melihat bagaimana tokoh-tokoh pendidikan bukanlah tokoh penting dalam negara. Tambahan pula orang-orang dewasa di sekeliling mereka hanya pentingkan kejayaan korporat, di mana remaja kita melihat sendiri bagaimana connection itu adalah lebih penting daripada education. Pelajar juga tahu bila bapa kawannya yang kaya raya dan berkereta Mercedes Benz itu juga adalah orang politik.

Berbalik kepada isu bahasa lnggeris, kita sedang menghadapi situasi di mana, bak kata pepatah, ‘penyakit lain, ubatnya lain’.

Perlu juga dilihat bahawa langkah ini jika dilaksanakan akan menelan belanja yang amat besar dengan pelatihan semula guru-guru sains dan matematik, penerbitan dan pencetakan semula semua judul buku teks bercorak sains dan matematik dari darjah satu hingga tingkatan lima (yang pada peringkat awal sahaja akan menelan kos berpuluh-puluh juta ringgit) – dan semua ini kita lakukan sebelum pasti ke mana hasilnya kelak.

Kini, ura-ura pun sudah timbul, mengatakan jerung-jerung politik sudah berkerumun untuk mengambil kontrak buku teks sains dan matematik.

Kalaupun benar khabar angin ini, kita belum pasti dalang tinggi di sebalik kenduri besar buku teks ini. Mungkin juga si dalang adalah orang yang paling rakus berbicara tentang pelaksanaan bahasa lnggeris dalam kelas sains dan matematik (pastinya dalang ini bukan Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad yang kita tahu amat berhati-hati dan jarang sekali mengeluarkan kenyataan sembarangan).

Perlu kita tanya pada diri sendiri: apakah pendidikan anak bangsa begitu mudah ‘dipolisikan’ dan dibega-bega tanpa usul periksa? Di manakah bukti atau kajian yang mengatakan ini langkah mengajar sains dan matematik dalam bahasa lnggeris akan membolehkan pelajar menguasai bahasa tersebut?

Kalau ada pun terdengar tentang sesuatu jawatankuasa Kementerian Pendidikan yang berkaitan dengan hal ini, yang ada tersiar di akhbar hanyalah jawatankuasa yang dikatakan akan mencadangkan cara implementasi langkah ini – bukan jawatankuasa untuk mengkaji sama ada langkah ini benar-benar waras.

Sebenarnya, penyelesaian kepada bagaimana membolehkan pelajar fasih dalam bahasa lnggeris sudah pun ada dicadangkan.

la sudah pun terkandung dalam memorandum-memorandum daripada pelbagai pertubuhan yang mewakili pergerakan pendidikan, bahasa, seni dan budaya malah juga golongan profesional muda. Malangnya, semua memorandum ini tidak diberikan perhatian dan tidak diwar-warkan oleh media (sedangkan semua media utama telahpun dihantarkan salinan melalui faks).

Antara lain ciri-ciri pakej penyelesaian ini terdiri daripada penambahan masa pengajaran bahasa lnggeris, peningkatan tahap profesion guru, penggalakan perkembangan sastera bahasa lnggeris dalam negara dan sebagainya. Tetapi buat apalah kita membuang masa membicarakan cadangan yang lebih rasional yang dikeluarkan tokoh-tokoh terpelajar walaupun ia bersandarkan fakta dan kepakaran.

Segala bantahan, walaupun rasional, adalah sia-sia. Jentera pelaksanaan telahpun digerakkan dan jentera ini terlalu berat untuk ditamatkan momentumnya. Jentera juga adalah pekak dan tuli terhadap pandangan luar.

Maka tiba kita kepada realiti pahit.

Setahun lampau dari sekarang, yang akan ada hanyalah selonggok memorandum, esei dan kritikan sebagai pengalas kopi di atas meja birokrasi usang.

Suatu hari, keputusan SPM dan PMR akan dikeluarkan dan mungkin akan menunjukkan betapa pelajar Melayu (khususnya) berjaya mencatatkan peningkatan cemerlang dalam bahasa lnggeris, sains dan matematik. Pada masa itu, kita akan mengangguk dan tersenyum sinis.

Kerana kita tahu perkara yang sebenarnya.

First Published: 17.07.2002 on Kakiseni

Related items

For Translation

The 8th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

The 7th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…