Dari Lembah Kinta ke Korea…

Artis Visual dan Kurator Yayasan Kesenian Perak

Pengalaman lima tahun berturut-turut (1996-2000) melaksanakan Festival Pekan Seni lpoh (FPSI) di Perak tetap menjadi kenangan manis untuk semua pihak yang terlibat samaada secara langsung mahu pun tidak. Pelbagai acara seni yang diatur mendapat respon dan sokongan yang mantap tidak kira dari kelompok penggiat seni tanahair mahu pun dari luar negara. Nama negeri Perak secara tidak langsung berjaya meniti dibibir para seniman yang pulang ke negara masing-masing membawa pengalaman mereka berpartisipasi di suatu acara tahunan yang agak konsisten. Dan seperti biasa pertanyaan demi pertanyaan tentang acara festival keseterusnya tetap menghujani pihak penganjur tiba sahaja bulan September.

Baru-baru ini saya berkesempatan ke Gwangju Biennale (GB) di Korea . Melihat-lihat serta membuat kajian tentang bentuk-bentuk seni kontemporari untuk diimplementasikan ke dalam urusan pentadbiran mahu pun pengkaryaaan peribadi. Metaforiknya, Gwangju juga merupakan sebuah bandar kecil yang terpinggir dari kota metropolitannya, Seoul. Pelaksanaan Bienalle (acara seni dua tahun sekali) tersebut mirip FPSI (atau lebih manis FPSI mirip GB, cuma berbeza skala serta konsepsualitinya). Memasuki kali keempat, penganjuran GB mendapat sokongan penuh kerajaan tempatan dan dijadikan umpan untuk industri pelancongan menarik para penggiat dan pencinta seni dari serata dunia. lklan serta promosi acara ini diwarwarkan secara besar-besaran ; di sekitar jalanraya, di bangunan-bangunan swasta, melalui telivisyen, perarakan dan tajaan percikan bunga api yang memeriahkan malam pembukaan GB (walau pun ramai yang merungut duit bunga api yang dibakar itu sebenarnya artists’ fee). Bangunan galeri yang teramat luas ditambah fasiliti yang cukup mampu memperagakan bentuk-bentuk seni pemasangan (installation art) yang menjadi praktis perupa kontemporari masa kini.

Berkesempatan juga saya bertemu dengan para perupa yang sohor-sohor belaka. Dalam kesibukan semua manusia membuat persediaan terakhir, tanpa disangka beberapa orang perupa terkenal dari negara jiran (bukan calang-calang) bertanyakan tentang FPSI. Saya menelan air liur yang tidak ada. Bertanya pula mereka tentang galeri negeri Perak yang tidak siap-siap dan halkum saya menjadi lebih perit. Apa lagi yang dapat dikatakan melainkan mengatakan yang benar. Bahawa kerajaan negeri mungkin mempunyai rangkanya sendiri dalam menstruktur wadah-wadah untuk komuniti seniman khususnya dalam konteks seni rupa. Dengan yakin saya meyakinkan mereka bahawa galeri seni negeri telah dijanjikan penubuhannya sejak beberapa tahun lalu oleh pihak pemerintah dan sudah tentu pembinaannya akan bermula dalam masa yang terdekat. Mereka nampak puas dengan jawapan tersebut serta terus berharap agar diundang ke negeri Perak untuk ‘memasang’ karya­ karya serta sama-sama mewujudkan pertembungan seni dan budaya dalam waktu yang terdekat. Saya hanya mampu tersenyum.

Keyakinan saya terus padam bila mana sekembalinya saya ke lpoh, seorang teman seperjuangan dengan tidak sabar-sabar memfakskan keratan akhbar bertajuk “Belum cadang bina Kompleks Seni di Perak” cetakan Utusan Malaysia bertarikh 4 April 2002. Keluhan saya bertambah dalam. Perkara ini dikatakan menjadi isu hangat di kalangan penggiat seni khususnya perupa yang bermastautin di Perak. Apatah lagi dengan keputusan kerajaan negeri untuk tidak lagi menyalurkan sebahagian dana bagi pelaksanaan FPSI (alasannya “kerana tiada peruntukan dalam belanjawan pejabat kewangan negeri”), sekurang-kurangnya penubuhan hanya sebuah galeri seni negeri tetap harus diteruskan untuk sekurang-kurangnya meredakan kemelut yang melanda para penggiat seni rupa (yang begitu ramai bermastautin di Perak tidak kira dari genre pelukis sepenuh masa, pelajar, pensyarah mahu pun peminat seni).

Sebagai sebuah bandaraya yang kedudukan geografikalnya amat strategik ; antara Pulau Pinang dan Kuala Lumpur yang tidak pemah sunyi dengan pameran-pameran seni yang mantap dan berprestij, Bandaraya lpoh harus lebih bersifat agresif dan serius di dalam penjanaan seni dan budayanya untuk kemanfaatan sosial dan ekonomi sekaligus membantu sektor pelancongan (ini perlu disebut untuk membuka mata sesetengah pihak) dan lebih-lebih lagi demi kemartabatan warisan seninya. Tanpa sebuah galeri seni yang sempurna, senario seni rupa di Perak akan menjadi hambar, jumud dan seakan-akan cacat; kudung atau sumbing, yang turut memangkin serta memungkinkan pelarian anak-anak seninya ke kota metropolitan. Lalu yang tinggal hanyalah catan-catan dekoratif, tarian-tarian untuk majlis kahwin, dinner show dan perakarakan kamival serta teater-teater ala pra menara gading.

Perak yang kaya dengan seniman perupa berkaliber seperti Lat, Raja Shahriman, Ramlan Abdullah, Juhari Said, Hasnol Jamal Saidon, Yeoh Jin Leng, dan berduyun lagi para pelapis yang sedang mencipta nama hingga ke peringkat antarabangsa sehingga kini masih tidak mampu menyediakan ruang untuk paparan karya seni dengan cara sempurna apatah lagi untuk mengadakan koleksi tetap seni rupa warisan negeri. Benar, ada kompleks­ kompleks swasta, ada lobi-lobi hotel, ada ruang legar shopping malls yang berebut menaja ruang untuk pameran-pameran berskala kecil dan ala kadar yang selalunya tersasar ke arah komersialism semata-mata.

Pun begitu, sokongan mereka membenarkan penggunaan ruang itu adalah suatu perkembangan sihat dan wajar dihargai. Akan tetapi sebuah galeri seni yang lengkap dari segi partisinya, pengcahayaannya, kawalan suhunya, dokumentasinya, pusat sumbernya, himpunan tetap karya-karyanya, jabatan konservasinya serta aktiviti sepanjang bulannya sudah tentu tetap menjadi mainan mimpi sebahagian besar anak-anak seni visual di Perak. Atau mungkinkah juga suatu igauan?

Sekiranya seni penulisan dan sastera ditempatkan di khutubkhanah, seni persembahan dan kebudayaan mendapat tempat di Taman Budaya, artifak dan kraf berlingkungkan muzium-muzium yang tersergam di serata pelusuk negeri, mana mungkin seni rupa dianaktiri dan dipandang sebelah mata. Secara realisnya, sebuah badan atau institusi yang mempunyai kefahaman luas dan mendalam tentang erti serta konsep seni rupa yang sebenar, perlu diberi kepercayaan dan tanggungjawab untuk memerhati atau mengurus perjalanan sebuah galeri yang ditaja sepenuhnya oleh kerajaan negeri. Secara mujarad belum tentu konsekuensnya kerana semuanya masih surreal.

Jika diperhati, perkara yang sama telah pun wujud di Pulau Pinang, Johor, Kedah, Pahang dan terkini di Melaka. Dengan tertubuhnya galeri seni, pameran-pameran seni yang mantap dari dalam dan luar negara mampu dilaksanakan sepanjang tahun dan sekaligus menjadikan Bandaraya lpoh sebagai pusat budaya yang disegani serta menjadi destinasi pilihan pertama para pelancong terutamanya dari luar negara, yang bukan sebahagian kecilnya ketagih serta kerap tercari-cari sebuah bangunan yang padat dengan seni rupa kontemporari mahu pun tradisional di Lembah Kinta.

Bukan niat saya untuk menuding jari kepada mana-mana pihak. Bukan juga meraih simpati. Sekadar cuba menebus maruah yang tercalar di Korea tempohari.

 

First Published: 09.05.2002 on Kakiseni

Related items

For Translation

The 8th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

The 7th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…